Huawei Lancar TV OLED Pertama, Vision X65 Dengan Kadar Segar 120Hz

Huawei baru-baru ini telah mengumumkan pelancaran Vision X65 yang merupakan TV OLED pertama keluarannya. Didatangkan dengan panel OLED 65 inci dan resolusi 4K, Vision X65 menyokong kadar segar 120Hz. TV ultra-nipis ini mempunyai ketebalan hanya 24.9mm.



Selain hadir dengan 98% gamut warna DCI-P3, Huawei turut menyatakan fungsi HDR yang terdapat pada TV ini mampu menyokong kecerahan puncak sehingga 1,000 nit. Menurut syarikat itu, ia merupakan paparan terbesar didunia yang ada di pasaran ketika ini yang melepasi sijil German TUV Rheinland.

Huawei Vision X65

Dijana cip Honghu 898, Vision X65 secara khusus dioptimakan untuk skrin OLED bagi meningkatkan kualiti imej dengan menggunakan algoritma AI. Melengkapkan lagi TV ini adalah sokongan 14 pembesar suara yang menghasilkan sehingga 75W.

Huawei Vision X65

Huawei turut memperkenalkan kamera pop-up pada Vision X65 yang boleh digunakan untuk panggilan video. Ia mempunyai kamera sudut luas 24MP yang dikuasakan oleh cip HiSilicon Hi83559c, yang mempunyai sokongan AI.



Melalui fungsi AI yang dapat mengesan pergerakan manusia, ia membolehkan anda menggunakan gerakan (gesture) untuk kawalan audio dan video.

Hadir dengan 6GB RAM dan storan 128GB, TV ini dijual pada harga 24,999 yuan (~RM7,800). Tiada maklumat lanjut didedahkan jika Vision X65 akan dilancarkan secara global kelak.

Sumber: GSM Arena