Huawei Honor Mahu Meneroka Pasaran Global Dengan Lebih Luas

Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, peranti-peranti telefon pintar keluaran China semakin mendapat tempat dalam industri komunikasi dan teknologi dunia. Syarikat pengeluar seperti Huawei dan Xiaomi dilihat kian mampu untuk memberi cabaran kepada gergasi industri yang lain seperti Samsung dan Apple. Keupayaan mereka untuk menawarkan harga yang jauh lebih murah berbanding syarikat gergasi tersebut menjadi antara sumber kebangkitan mereka ini.



Atas sebab itu, syarikat dibawah kelolaan Huawei, Honor kini sedang memikirkan strategi untuk mereka menembusi pasaran antarabangsa dengan lebih luas. Pihak Honor mensasarkan untuk mempunyai pembahagian yang sama rata iaitu 50-50 bagi jumlah jualan mereka bagi pasaran China dan global menjelang tahun 2020. Perkara itu dinyatakan oleh George Zhao, Presiden Honor dalam temuramah bersama pihak CNBC.

Peranti keluaran Huawei Honor yang lebih mensasarkan kepada pengguna yang lebih muda dan peranti yang dijual juga biasanya lebih murah. Perkara ini membantu syarikat Huawei untuk terus bersaing dengan syarikat-syarikat seperti Samsung dan Apple bukan sahaja dalam pengeluaran model perdana malah model dalam kelas permulaan juga.



Ketika ditanya berkenaan pasaran yang disasarkan oleh pihak mereka, Zhao berkata negara seperi India, Russia dan Indonesia merupakan antara yang menarik perhatian mereka selain beberapa negara di benua Eropah, Asia Pasifik dan Timur Tengah. Selain itu, beliau turut menyatakan bahawa Amerika Syarikat masih lagi merupakan sasaran jangka masa panjang mereka walaupun syarikat China mengalami sedikit masalah untuk berdagang di sana ketika ini.



Walaubagaimanapun, pasaran telefon pintar bagi peringkat global kini dilihat mengalami sedikit penurunan. Di China sendiri, pasaran telefon pintar leah mengalami penurunan yang agak ketara dalam suku pertama tahun ini sambil pasaran India pula dikatakan bergerak secara mendatar. Namun, dengan syarikat Xiaomi dapat memecahkan penguasaan Samsung sebagai syarikat yang mempunyai penguasaan pasaran terbesar di India, ia memberi sedikit sinar buat syarikat telefon pintar dari China yang lain termasuk Honor.

Sumber