Huawei Akur, Sediakan Pilihan Pengaktifan Bagi "Performance Mode" Pada EMUI 9.0

Seperti yang telah kami nyatakan sebelum ini, Huawei telah membuat pengakuan berkenaan isu memanipulasi markah penanda aras bagi peranti Honor Play. Mereka memberi alasan ianya terjadi kerana AI melalui "Performance Mode" pada peranti berkenaan akan mengesan aplikasi ujian penanda aras secara automatik, seterusnya akan melonjakkan prestasi peranti ke tahap yang lebih tinggi.

Perkara berkenaan kurang dipersetujui oleh pihak UL(pembangun perisian penanda aras 3D Mark). Mereka berpendapat pengguna sepatutnya diberi pilihan untuk tidak diaktifkan mod itu dan bukannya dijalankan secara paksa. Ia sekaligus membolehkan markah penanda aras yang lebih tepat diperolehi ketika ujian dilaksanakan.



Selepas mengadakan perbincangan bersama, Huawei akhirnya akur untuk memberi pilihan kepada pengguna sama ada untuk mengaktifkan atau tidak mod tersebut pada EMUI 9.0 yang bakal dilancarkan tidak lama lagi. Perkara ini juga nampak lebih relevan kepada pengguna kerana penggunaan bateri juga akan dapat dijimatkan apabila Performance Mode ini dinyah-aktifkan.

EMUI 9 telah diumumkan oleh pihak Huawei pada acara IFA yang berlangsung awal bulan lalu dan beberapa fungsi menarik telah pun didedahkan ketika itu. Namun, sistem ini masih lagi belum sempurna dan sedang diuji, maka tidak mustahil ada fungsi lain yang dibawa masuk sebelum versi akhirnya dirasmikan kelak.

 

Sumber