Huawei 20 X - Bukan Sekadar Besar Pada Saiznya, Tapi Juga Besar Dari Segi Kemampuannya

Seperti yang kita tahu, Huawei telah memperkenalkan tiga model berbeza di bawah siri Mate 20 iaitu Mate 20 Pro, Mate 20 dan Mate 20 X. Sesuai dengan namanya, Mate 20 Pro merupakan model paling premium, Mate 20 adalah model yang lebih bajet sementara Mate 20 X pula didakwa lebih menfokuskan permainan video dan produktiviti.

Selepas diberi peluang mencuba Mate 20 pada minggu lalu, kini saya berkesempatan pula mencuba sendiri kemampuan Mate 20 X. Tidak jauh beza dengan Mate 20, cip yang sama, rekaan takuk yang sama dan tetapan tri-kamera yang sama.

Jadi apa yang membeza kan dua model ini? Seperti biasa, untuk mengetahuinya mari selami ulasan Mate 20 X dari kami ini hingga selesai.

Reka Bentuk Elegan Dan Premium


Antara perbezaan paling ketara diantara dua model ini ialah saiznya. Mate 20 X ini mempunyai saiz skrin sebesar 7.2-inci, jauh lebih besar berbanding Mate 20(6.53-inci). Bagaimanapun, keduanya menggunakan rekaan takuk Dewdrop yang sama.



Selain daripada saiz, jenis skrin yang digunakan juga adalah berbeza. Mate 20 hadir dengan panel IPS LCD manakala Mate 20 X pula menggunakan skrin AMOLED yang lebih mahal.



Butang kuasa dan kawalan bunyi terletak pada sebelah kanan, dulang kad sim dibahagian kiri, port pengecasan USB Type-C di sisi bawah serta bicu audio 3.5mm pula terletak dibahagian atas peranti.



Bercakap mengenai audio, berbeza dengan Mate 20, peranti ini disokong oleh pembesar suara stereo, satu di sebelah atas dan satu lagi di sebelah bawah peranti.



Beralih ke panel belakang pula. Seperti yang saya katakan lebih awal tadi, Mate 20 dan Mate 20 X mempunyai tetapan tri-kamera utama yang sama, namun lensa yang berbeza. Malah, sensor imbasan cap jarinya juga adalah serupa.

Bagaimanapun, jika ditanya pada saya, dengan saiz lebih daripada 7-inci, peranti ini kurang selesa di pegang serta amat sukar untuk dikendalikan secara sebelah tangan.

Antaramuka Kemas Dan Minimalis


Antaramuka EMUI 9 berasaskan Android 9 Pie ini secara ringkasnya sama sahaja seperti yang dimiliki oleh Mate 20.



Selain itu pengguna juga boleh mengubah tetapan takuk dan butang navigasi mengikut kesesuain sendiri. Ia juga hadir dengan fungsi-fungsi menarik lain seperti Digital Balance dan bantuan pintar yang biasa ada pada sebuah peranti EMUI.



Huawei juga menyediakan beberapa aplikasi pra-pasang seperti Hawei Health, AppGallery dan Tips. Bagi saya, kebanyakan daripada aplikasi ini tidak perlu kerana biasanya pengguna sudah mempunyai aplikasi kegemaran mereka sendiri.

Prestasi Mantap


Huawei Mate 20 X ini dibekalkan dengan cip paling berkuasa HiSilicon, Kirin 980 yang seperti kita ketahui, tiada masalah untuk menjalankan apa jua permainan video yang ditawarkan hari ini.

Asyik PUBG Mobile je pun bosan jugak kan? Jadi kali ini saya memilih Tekken Mobile dan Darkness Rises bagi menguji keupayaan peranti ini. Ia kerana dua permainan ini dikatakan antara permainan mudah alih bergrafik tinggi oleh laman AndroidPit.



Setelah bermain dua permainan ini, ternyata Kirin 980 dengan pemproses grafik Mali-G76 MP10 bukan biasa-biasa. Permainan dapat dimainkan dengan sangat lancar.

Malah, dengan bantuan sistem penyejukan Huawei Supercool, Mate 20 X ini tidak berasa panas walaupun saya bermain games untuk tempoh yang agak lama.

Pengalaman bermain disemarakkan lagi dengan sokongan sistem audio Dolby Atmos. Berbeza dengan sistem sama yang ada pada Samsung Galaxy S9 dan Note 9, Dolby Atmos pada Mate 20 X tidak boleh dinyah-aktifkan semasa menggunakan pembesar suara.



Menonton video di YouTube dan Netflix juga adalah amat memuaskan. Skrin besar bersaiz 7.2-inci, panel skrin canggih AMOLED dan sistem audio Dolby Atmos, cukup mengasyikkan.

Menjalankan tugasan normal sebagai sebuah telefon pintar sudah pasti dapat dijalankan tanpa masalah. Ia seolah-olah memberikan soalan matematik tingkatan 3 kepada seorang pemegang ijazah perakaunan untuk diselesaikan.

Mata Tiga Yang Berkualiti Tinggi


Kamera utama tiga lensa Leica yang ada pada Huawei Mate 20 X adalah sama seperti Mate 20 Pro di mana hadir dengan tetapan 40MP lensa utama, 20MP lensa ultra-wide dan 8MP lensa telefoto serta 24MP untuk rakaman swafoto.



Oleh sebab itu, saya meletakkan satu penanda aras yang tinggi bagi keupayaan kamera peranti ini. Berikut adalah beberapa hasil tangkapan gambar menggunakan Huawei Mate 20 X:



Sama seperti dua lagi model dalam siri yang sama, peranti ini juga disokong oleh fungsi Night Shot.


Night Shot off < > Night Shot On


Rakaman video pula disokong penstabilan imej elektronik(EIS) serta rakaman gerak perlahan pada 720p@960fps.

Bateri Yang Berdaya Tahan


Huawei membekalkan bateri berkapasiti besar 5,000mAh sekaligus menjanjikan daya tahan bateri yang lebih lama berbanding pesaingnya.



Dengan bermain games dan menonton video, saya gagal untuk menghabiskan bateri peranti sebelum saya tertidur. Tiga kali saya mencuba, namun semuanya gagal.

Namun, dengan satu jam bermain permainan video, saya dapati Huawei Mate 20 X ini hanya kehilangan lebih kurang 18% kuasa bateri sahaja.

Untuk penggunaan biasa, peranti ini boleh dikatakan berjaya untuk bertahan selama hampir dua hari penuh. Saya mengecas penuh peranti pada waktu pagi, dan hanya mengecasnya semula pada malam keesokan harinya.



Bercakap mengenai pengecasan, peranti ini menyokong pengecasan pantas Huawei SuperCharge 22.5W.

Satu jam pengecasan berjaya membekalkan kuasa sebanyak 76% kepada peranti, manakala pengecasan penuh pula mengambil masa selama 1 jam 44 minit.

Sebuah Peranti Yang Lengkap Tapi Tidak Sempurna


Huawei Mate 20 X ini telah menyelesaikan dilema yang sering dihadapi oleh pembeli. Jika sebelum ini, mereka seringkali perlu memilih di antara peranti dengan kamera berkualiti atau peranti dengan spesifikasi  canggih, kini tidak lagi.

Sistem cip berteknologi tinggi Kirin 980, memori yang besar, skrin AMOLED yang cantik, bateri berkapasiti gergasi dan kamera yang sangat berkualiti.



Kenapa tidak sempurna? Kerana ia kehilangan beberapa teknologi atau ciri penting yang dimiliki Mate 20 Pro seperti pensijilan IP68, pengecasan pantas SuperCharge 40W baharu.

Peranti ini juga tidak menyokong pengecasan tanpa wayar dan pengecasan berbalik.

Namun, dengan penawaran teknologi berkualiti tinggi pada Huawei Mate 20 X ini, kita perlu bersedia untuk menerima nilai harga yang agak tinggi. Peranti ini dijual pada tanda harga RM3,199

Jika tanya saya, harga itu adalah munasabah memandangkan peningkatan paras harga telefon pintar pada hari ini. Tepuk dada, tanya selera.