HTC Exodus 1 - Telefon Pintar Pertama Yang Hanya Boleh Dibeli Menggunakan Matawang Kripto

Telefon pintar menfokuskan permainan mudah alih atau kualiti kamera sudah biasa kita dengan dalam 2 tahun kebelakangan ini. Namun tidak bagi peranti terbaru keluaran HTC, Exodus 1 yang baru diumumkan secara rasmi baru-baru ini.

Ia muncul sebagai peranti menfokuskan blockchain pertama di dunia. Menariknya, peranti ini hanya boleh dibeli menggunakan matawang kripto sahaja. Harga yang ditawarkan ialah 0.15 Bitcoin(~RM4,015) atau 4.78 Ethereum(~RM4,010).

Kapsyen: Kredit: HTC


Harga peranti ini kekal mengikut pasaran nilai matawang kripto. Ini bermakna sekiranya nilai matawang kripto meningkat, maka harga Exodus 1 ini juga akan meningkat.

Peranti terbaru ini HTC dibangunkan dengan tujuan untuk menjadi dompet kripto mereka sendiri iaitu Zion. Oleh sebab itu, sistem keselamatan telah menjadi keutamaan bagi mereka dalam membangunkannya.

Selain itu, ia juga mempunyai kekuatan dalaman seperti kebanyakan peranti perdana lain. Hadir dengan cip Snapdragon 845 namun mempunyai keupayaan untuk mengasingkan dua sistem operasi dalam satu masa.

Sistem Android yang dikhuatiri mudah digodam telah diasingkan dengan satu lagi sistem operasi mikro yang telah dibangunkan oleh SoftBank Arm Holdings. Ia perlu dilakukan bagi menjamin keselamatan aset digital(wang kripto) milik pengguna yang disimpan di dalam peranti tersebut.

Antara spesifikasi yang hadir bersama peranti ini ialah memori 6GB RAM, simpanan dalaman 128GB, pensijilan kalis air IP68 serta bateri berkapasiti 3,500mAh.

Kapsyen: Kredit: HTC


Ia juga dilengkapi dengan sistem dwi-kamera di bahagian depan dan belakangnya, di mana masing-masing 12MP+16MP dan 8MP+8MP. Malah, ia juga dikatakan mempunyai panel belakang lutsinar, yang seakan sama dengan Mi 8 Explorer Edition.

Peranti ini dikatakan akan boleh didapati di 34 buah negara, namun tidak dapat dipastikan samada Malaysia turut tersenarai atau tidak. Sama-sama kita tunggu perkembangan lanjut mengenainya nanti.

 

Sumber : BGR