(Ulasan) Honor Play - Peranti Yang Menidakkan Slogan Kata "Hobi Kami Mahal"

Bermain permainan video bukan lagi sesuatu yang dipandang sebagai sia-sia hari ini. Mana tidaknya, sejak kebelakangan ini ribuan ringgit boleh dimiliki hanya dengan bermain permainan video sahaja.

Jika dulu, konsol dan komputer menjadi platform utama bagi penggemar permainan video melepaskan gian mereka, kini peranti telefon pintar juga mampu berfungsi sebagai platform permainan video yang baik.

Dengan lambakan permainan video mudah alih yang digemari ramai hari ini, ia menginspirasikan para pengeluar peranti untuk menghasilkan telefon pintar yang menfokuskan permainan video.

Setakat hari ini, terdapat beberapa peranti yang dikelaskan sebagai platform permainan mudah alih seperti Xiaomi Black Shark, Razer Phone, Nubia Red Magic dan ASUS ROG Phone. Namun ke semua peranti ini dipasarkan dengan harga yang agak tinggi.

Ketika semua peminat permainan mudah alih mula menggeledah setiap celahan di dompet dan melancarkan tabung-tabung sumbangan untuk mendapatkan wang bagi membeli peranti idaman mereka, Honor muncul dengan model Honor Play mereka.

Sebelum saya membebel lebih jauh, seperti biasa, kami di Wiser telah terpilih untuk mencuba peranti ini dan ikuti pandangan kami.

REKAAN LUARAN




Berbeza dengan beberapa peranti Honor sebelum ini, Honor Play tidak hadir dengan rekaan panel kaca atau kelihatan seperti kaca dengan dua tona warna berbeza. Pada kami, ia adalah satu langkah yang agak bijak bagi ‘merehatkan’ dulu rekaan berkenaan agar ia terus nampak ‘premium’.

Seperti biasa, saya akan mulakan dengan panel belakang peranti terlebih dahulu. Walaupun tidak menggunakan panel yang memantulkan cahaya, Honor Play ini masih kelihatan elegan dengan warna Ultra Violetnya yang jarang kita temui pada peranti-peranti sebelum ini.

Malah, satu lagi variasi warna iaitu Navy Blue dan pada amatan kami, warna ini juga masih kelihatan menarik. Ia mungkin disebabkan penggunaan logam dalam setiap pelusuk pembinaannya yang menonjolkan rupa paras premium pada peranti ini.



Honor masih lagi kekal dengan tulisan AI CAMERA yang diletakkan di bawah lensa kamera berkembarnya yang dipasang secara menegak. Bagi kami, tulisan itu mungkin boleh dibawa keluar untuk model seterusnya.

Perkara-perkara lain adalah hampir sama dengan peranti keluar Honor dan Huawei yang lain, di mana logo jenama berada di sisi kiri sebelah bawah peranti serta pengimbas cap jari berada di bahagian tengah peranti.

Beralih ke setiap bahagian sisi peranti. Pada bahagian bawah Honor Play ini tersedia bicu audio 3.5mm, pembesar suara serta port USB Type-C untuk pengecasan kuasa bateri dan pemindahan data.



Butang kuasa dan kawalan bunyi pula dipasang pada bahagian sisi kanan peranti, manakala slot kad sim Nano pula terletak di sebelah kiri Honor Play ini. Untuk pengetahuan pembaca, peranti ini menyokong fungsi dwi-kad sim, namun slot kedua adalah merupakan slot hybrid untuk kegunaan kad mikroSD sehingga 256GB.



Tidak lengkap bagi sesebuah peranti keluaran tahun ini tanpa rekaan takuk pada paparan hadapannya. Bercakap mengenainya, Honor Play menggunapakai  skrin IPS LCD 6.3-inci beresolusi FHD+ dengan nisbah paparan 19.5:9.



Skrin paparan dengan saiz sedemikian amat sesuai bagi sesebuah peranti yang menfokuskan permainan video. Ia juga dikelilingi oleh bingkai yang sederhana namun dagu yang agak tebal bagi menempatkan logo honor di bahagian bawah peranti.



Sudah menjadi lumrah, saya akhiri slot ‘rekaan luaran’ ini dengan tahap keselesaan ketika memegang peranti. Dengan saiz 6.3-inci, berat sekitar 176gram dan tebal 7.5mm, saya merasakan peranti ini agak selesa ketika berada di dalam genggaman.

Secara keseluruhannya, rekaan luaran pada Honor Play ini menepati citarasa saya. Namun harus diingatkan, setiap daripada kita ada citarasa sendiri. Rambut sama hitam, hati lain-lain.

ANTARAMUKA


Huawei masih lagi menggunakan antaramuka EMUI pada keluaran kali ini. Sama seperti Huawei Nova 3 dan Nova 3i, Honor Play hadir ke Malaysia dengan antaramuka EMUI 8.2. Untuk pengetahuan anda, sebahagian negara menerima Honor Play dengan antaramuka EMUI 8.1 dari dalam kotak.



Tidak banyak perbezaan dengan antaramuka EMUI 8.1 sebelum ini, namun ia nampak sedikit kemas dan agak minimalis. Seperti biasa, saya lebih gemar menggunakan paparan Standard berbanding app drawer kerana ia nampak lebih tersusun dan tidak bersepah.



Bagi yang tidak menggemari rekaan takuk, anda boleh sahaja menetapkan untuk tidak menggunakannya melalui fungsi ‘hide notch’. Tapi untuk saya, saya lebih suka untuk membiarkannya, baru nampak sama macam peranti Essentials.



Sebagai seorang yang suka menggeledah, saya suka mencuba seberapa banyak fungsi yang ada pada sesebuah peranti itu. Antaranya ialah isyarat gerakan atau gestures. Saya dapati tiada apa yang istimewa pada peranti ini berbanding peranti Huawei dan Honor yang lain.



Sistem nyahkunci pengimbas cap jari dan pengesanan wajahnya dapat berfungsi dengan baik. Namun, saya lebih gemarkan pengimbas cap jarinya yang lebih pantas dan boleh digunakan tanpa masalah bila-bila masa tanpa mengendahkan suasana pengcahayaan.

PRESTASI KAMERA


Setiap kali mencuba peranti keluaran Huawei atau Honor, saya sering meletakkan tanda aras yang agak tinggi pada kameranya. Ini kerana penggunaan cip Kirin-nya yang sering didakwa lebih menfokuskan kepada kualiti kameranya.

Namun, berbeza dengan Honor Play kali ini, pada awalnya saya merendahkan sedikit tanda aras bagi peranti ini atas rasa timbang rasa kerana ia adalah sebuah peranti menfokuskan permainan video, dan bukan fotografi.

Tetapi, selepas mencuba keupayaan kamera bagi model Honor Play ini, saya dapati prestasi kameranya berada di tahap yang memuaskan. Dengan sokongan fungsi AI, peranti ini dapat menghasilkan imej yang agak baik dan cantik.










Imej bokeh dihasilkan pada peranti ini juga boleh dikatakan agak baik


Namun, imej pada keadaan kurang pengcahayaan nampak agak sederhana. Noise kelihatan agak kasar dan boleh diperbaiki.


 

Kualiti swafotonya dengan kamera 16MP-nya juga adalah sangat baik. Nota tambahan : Imej diambil tanpa sebarang fungsi beauty :P


Antara perkara yang agak mengecewakan, Honor Play ini tidak didatangkan dengan sebarang penstabilan imej. Video yang diambil melaluinya menampakkan gegaran yang agak ketara.

Kesimpulannya, kamera peranti ini adalah agak memuaskan walaupun tidak mencapai tahap kecemerlangan.

SPESIFIKASI DALAMAN


Ya, di sinilah terletaknya emas permata bagi Honor Play. Walaupun diklasifikasikan sebagai peranti atasan kelas pertengahan, ia hadir dengan cip pemprosesan premium Kirin 970 yang digunapakai oleh kebanyakan peranti perdana Huawei.



Agak mengecewakan apabila Honor Malaysia hanya mengumumkan satu variasi memori sahaja iaitu 4GB RAM serta 64GB simpanan dalaman. Namun, ia sebenarnya sudah cukup untuk memberikan penggunaan harian yang memuaskan.

Sebelum anda menjadi bosan dengan tulisan saya, saya akan mula bercakap berkenaan permata yang ada di dalam Honor Play ini. Ianya adalah GPU Turbo.

Seperti juga turbo yang dipasang pada kebanyakan kereta seperti Kancil mahupun Satria di luar sana, GPU Turbo juga bertujuan untuk meningkatkan kelajuan peranti ke tahap yang lebih baik.

Menurut Huawei, teknologi ini akan memberikan 60% lebih prestasi pada unit grafik peranti dan penjimatan sebanyak 30% dalam penggunaan bateri bagi memberikan pengalaman bermain yang lebih mengujakan.



Bagaimanapun, semasa bermain permainan PUBG Mobile, saya dapati tiada sebarang indikasi yang jelas bagi menandakan peranti ini dikuasakan dengan GPU Turbo.

Namun, selepas saya mendera keupayaan grafik peranti ini dengan mengubah tetapan grafik ke tahap HDR dan frame rate ke tahap Ultra, saya rasakan ia berjalan dengan lebih baik berbanding Huawei P20 Pro. Mungkin placebo effect. Mungkin..

Suka saya selitkan satu cadangan untuk pembaca yang bermain PUBG Mobile. Untuk permainan yang lebih lancar, anda boleh cuba tetapkan grafik ke tahap smooth bagi membolehkan anda menggunakan frame rate extreme. Grafik permainan mungkin tidak 'umpphh', tapi anda akan dapat menikmati masa bermain dengan lebih baik. 



Walaupun cuma menyokong permainan PUBG Mobile dan Mobile Legends buat masa ini, Huawei berjanji akan membawanya ke lebih banyak permainan video pada masa akan datang.



Menggunakan aplikasi Gamebench sebagai alatan makmal, kami menguji tahap frame per second(fps) semasa bermain PUBG Mobile. Keputusannya, 60fps selepas bermain selama lebih kurang 26 minit 19 saat. Memberangsangkan.

Honor Play juga digembar-gemburkan sebagai peranti yang akan memberikan pengalaman bermain 4D. Bagaimanapun, saya tidak dapat merasakan sebarang perbezaan antara Honor Play dengan peranti-peranti lain ketika bermain. Mungkin saya perlu mengkaji dengan lebih lanjut berkenaan perkara ini di masa akan datang.

Seperti dijangka, dengan reputasinya sebagai peranti menfokuskan permainan video, Honor Play tidak menghadapi sebarang masalah dalam menjalankan operasi lain seperti mengakses laman media sosial dan keluar masuk aplikasi.

KEUPAYAAN BATERI


Honor Play hadir dengan bateri berkapasiti 3,750 mAh yang mampu memberikan anda penggunaan seharian. Penggunaan seharian saya merangkumi aktiviti melayari laman media sosial, menonton Youtube, mendengar lagu dan bermain beberapa permainan PUBG Mobile.

Masuk ke pejabat dengan bateri penuh pada jam 9 pagi, Honor Play yang saya gunakan masih lagi mempunyai baki kuasa semasa saya pulang ke rumah pada pukul 6 petang. Tak perlu bawa alat pengecas ke pejabat.



Tangkapan skrin ini dibuat selepas lebih 3 jam penggunaan ringan seperti mengakses laman media sosial, mendengar lagu semasa dalam perjalanan ke pejabat dan membalas beberapa kiriman mesej. (*Nota : Peranti selesai dicas penuh lebih kurang pukul 7 pagi, hari yang sama). 

Bercakap mengenai pengecasan, Honor Play menyokong fungsi penngecasan pantas. Walaupun bukan Super Charge, peranti ini cuma memerlukan sekitar satu jam 33 minit untuk pengecasan penuh dari 0% - 100%.

Anda tiada satu jam 33 minit untuk pengecasan? Jangan risau kerana dengan 30 minit pengecasan, anda akan memiliki bateri dengan kuasa 45% dan 79% bagi pengecasan selama satu jam.

KESELURUHAN




Sahaja saya simpan dulu maklumat berkenaan harga peranti ini(walaupun saya yakin ramai yang sudah tahu) untuk ditekankan di slot terakhir ulasan kali ini. Dengan harga RM 1,249 semasa dilancarkan, anda sudah boleh memiliki peranti yang cukup baik untuk  memuaskan nafsu bermain game anda itu.

Ya, peranti ini terdapat beberapa kelemahan seperti kameranya yang cuma berada di tahap memuaskan, antaramuka EMUI yang tiada beza dengan yang sebelumnya dan ketiadaan penstabilan imej. Namun, dengan harga yang ditawarkan, kelemahan-kelemahan ini mungkin boleh dipandang sebelah mata.

Akhir kata, Honor Play adalah peranti yang amat sesuai untuk penggemar permainan video mudah alih. Jika anda bukan salah seorang daripadanya, mungkin ada peranti lain yang lebih sesuai untuk anda.

 

Sumber : Pandangan dari lubuk hati yang paling dalam dengan penuh ikhlas dan jujur