Honor Note 10 Mungkin Hadir Dengan Edisi Rolls-Royce

Menjelang hari pelancarannya pada 31 Julai ini, pelbagai maklumat berkenaan peranti Honor Note 10 telah didedahkan oleh pakar-pakar tiris di laman internet. Yang terbaru, peranti ini dikatakan akan hadir dengan edisi istimewa, Rolls-Royce.

Ia berikutan satu imej yang tular hasil pendedahan yang dibuat oleh laman tirisan terkenal, Slashleaks. Kiriman imej ini telah dibuat pada 14 Julai yang lalu, namun telah menjadi tular sejak beberapa hari yang lepas.


Kredit : Slashleaks


Ia mengingatkan kami kepada sebuah peranti Huawei yang juga pernah hadir dengan edisi istimewa membabitkan jenama kenderaan mewah iaitu Huawei Mate 10 Porsche Design. Ia telah mendapat sambutan hangat walaupun dijual dengan harga yang agak mahal ketika itu.

Dalam satu laporan berbeza, Honor dikatakan telah membuat pengesahan bahawa Note 10 ini akan hadir dengan bateri berkapasiti sebesar 5,000 mAh. Perkara ini diumumkan melalui satu iklan acah yang telah dikeluarkan oleh mereka.


Kredit : Weibo


Sekiranya kedua-dua laporan ini benar, ternyata Honor Note 10 adalah satu peranti yang akan memberikan keterujaan kepada peminat telefon pintar. Harga peranti juga akan menjadi tanda-tanya kerana Honor sebelum ini terkenal sebagai jenama yang menghasilkan peranti dengan harga mampu milik.

Segala persoalan yang bermain di minda pasti akan terjawab semasa majlis pelancaran peranti ini di China pada 31 Julai kelak. Mari kita sama-sama nantikan ketibaan hari tersebut dengan penuh rasa sabar.

Sumber