Honor Note 10 Dilaporkan Tidak Akan Hadir Dengan Kirin 980

Huawei telah mengumumkan bahawa mereka akan menghasilkan semula siri Honor Note melalui Honor Note 10 yang menggunakan kod nama 'Ravel' melalui Ketua Pegawai Eksekutifnya baru-baru ini. Ia merupakan kemunculan semula siri ini selepas peranti terakhirnya, Honor Note 8 dilancarkan dua tahun lepas.

Pada kebiasaannya, model Honor Note akan hadir dengan nilai tambah berbanding dengan siri Honor. Mengambil contoh semasa Honor Note 8 dilancarkan, ia menggunakan cip pemprosesan Kirin 955 berbanding Kirin 950 yang digunapakai pada model Honor 8.


Imej tertiris Honor Note 10(Kredit : FirstPost)


Namun, perkara ini dikatakan tidak akan berlaku pada keluaran kali ini. Ini kerana menurut laporan FirstPost, peranti ini akan menggunakan cip yang sama dengan Honor 10 iaitu Kirin 970. Laporan itu dibuat berdasarkan spesifikasi daripada yang dikeluarkan oleh GeekBench.

Cip pemprosesan peranti ini telah menerima skor 1,901 untuk teras tunggal dan 6,818 untuk multi-teras. Menurut laporan itu lagi, peranti ini akan dijalankan dengan sistem operasi Android 8.1 Oreo.

Sekiranya laporan ini tepat, Honor Note 10 akan menjadi salah satu dari lambakan peranti Huawei yang menggunakan cip Kirin 970 selain Honor 10, antaranya Huawei P20 Pro dan Huawei Mate 10. Sebelum ini, peranti ini dilaporkan akan menggunakan skrin Super AMOLED 6.9 inci keluaran Samsung.

Bagaimanapun, setakat ini tiada pengumuman rasmi daripada pihak Huawei mahupun Honor berkenaan spesifikasi peranti ini. Mungkin kita akan mendengar maklumat terbaharu daripada mereka sebelum hujung bulan ini.

Sumber