Honor Magic 2 Dengan Skrin Meluncur Akan Dilancarkan 26 Oktober Ini

Ketika syarikat induknya, Huawei akan memperkenalkan peranti perdana Mate 20 pada 16 Oktober nanti, Honor pula mengumumkan bahawa mereka akan melancarkan Honor Magic 2 sepuluh hari kemudian. Pelancaran itu akan diadakan di tanahair mereka, China.



Magic 2 ini telah mencetus keterujaan kepada peminatnya apabila akan menggunakan teknologi skrin boleh luncur dan tanpa rekaan takuk. Bagi menggunakan kamera swafotonya, pengguna perlu meluncurkan skrin ke bawah bagi mendedahkan kamera swafoto yang tersimpan di belakang panel berkenaan.

Selain itu, peranti ini turut dijangka akan menjadi keluaran Honor pertama yang hadir dengan cip pemprosesan terbaru Kirin 980. Cip ini juga akan digunapakai oleh model Mate 20 dan dilaporkan mampu beroperasi 75% lebih pantas berbanding Kirin 970 yang ada pada hari ini.

Kredit : honor


Tidak cukup dengan itu, Honor Magic 2 ini juga disahkan akan hadir dengan pengecasan pantas 40W yang mampu mengecas sehingga 90% dalam masa cuma 30 minit.

Namun untuk rekod, Honor Magic generasi pertama dahulu hanya dipasarkan di pasaran China sahaja. Ini menimbulkan persoalan sama ada model Magic 2 ini akan menerima nasib yang sama atau sebaliknya. Sama-sama kita nantikan pengumuman daripada Honor.

 

Sumber