HONOR Band 5 Mungkin Diperkenalkan Pada 23 Julai Ini

HONOR memperkenalkan penjejak kesihatan HONOR Band 4 lebih kurang 10 bulan yang lalu dan kini, syarikat itu dikatakan sedang merancang kehadiran model pengganti, HONOR Band 5.

Menerusi perkongsian gambar pada platform Weibo, Presiden HONOR, George Zhao mengacah kehadiran model tersebut dengan rekaan yang hampir serupa dengan HONOR Band 4. Imej memperlihatkan skrin berwarna yang berkemungkinan paparan AMOLED disamping butang navigasi berbentuk bulat pada bahagian bawah.



Menariknya tentang khabar angin HONOR Band 5 adalah ia akan mempunyai ciri mengukur paras oksigen didalam darah serta mampu mengesan keadaan letih, lesu serta pening yang dialami pengguna.



Walaubagaimanapun, Zhao hanya berkongsi gambar dan tidak mendedahkan bilakah peranti itu akan diumumkan. Terdapat ramalan HONOR Band 5 mungkin dilancarkan bersama-sama HONOR 9X pada 23 Julai ini, sama seperti yang dilakukan pengeluar ketika pengenalan HONOR Band 4 disamping HONOR 8X tahun lalu.



Perkara ini dikuatkan lagi dengan pra-tempah HONOR Band 5 yang telah dibuka oleh beberapa platform dalam talian di China seperti Vmall, Tmall, Suning dan JD.



Terdapat tiga pilihan warna yang ditawarkan iaitu, Meteorite Black, Midnight Blue,  dan Coral Powder. Laman pra-tempah juga tidak menyatakan sebarang maklumat berkenaan harga dan spesifikasi.

Sumber: Weibo dan GizmoChina