HONOR 9X Digambarkan Mempunyai Prestasi Terbaik Dan Bateri Tahan Lama

Ura-ura mengenai kedatangan pengganti HONOR 8X sudah kedengaran sejak pertengahan bulan lalu. Bakal tampil dengan nama HONOR 9X, kini ia telah diacah oleh Naib Presiden HONOR melalui perkongsian gambar di laman Weibo.

Empat gambar serba ringkas dimuat naik dengan gambar pertama memperlihatkan kotak bungkusan HONOR 9X diletakkan bersama joystick. Satu lagi imej pula menunjukkan kotak bungkusan tersebut bersebelahan jam. Ia seolah-olah memberi gambaran bahawa peranti akan datang ini bakal memberikan prestasi terbaik terutama sekali ketika bermain aplikasi permainan serta mempunyai ketahanan bateri yang lebih lama.



Gambar seterusnya pula membayangkan kepantasan serta prestasi kamera yang bakal diperlengkapkan pada HONOR 9X. Peranti ini dikhabarkan mempunyai dwi kamera belakang untuk model HONOR 9X sementara HONOR 9X Pro pula diletakkan dengan tiga lensa kamera belakang bersama satu sensor 48MP.

Spekulasi sekitar Jun lalu pula menyatakan sebaliknya iaitu penggunaan empat kamera belakang untuk model Pro dengan membarisi lensa 48MP+8MP+2MP+2MP. Pada bahagian pemprosesan, ia mungkin dikuasakan dengan cip terbaru Kirin 810 dan menjalankan sistem operasi EMUI 9.1.

Apa-apa pun ia hanyalah sekadar khabar angin dan sama-sama kita nantikan pelancarannya yang dijangka berlangsung pada 23 Julai depan.

Sumber: Weibo via Playfuldroid