HONOR 8X Ditawarkan Pada Harga Yang Lebih Murah Bermula 22 Mac Ini

Sepanjang tahun lalu, pihak HONOR telah memperkenalkan beberapa model menarik dengan harga yang berbaloi. Antaranya ialah HONOR 8X.

Ketika dilancarkan di Malaysia pada 9 Oktober tahun lalu, ia ditawarkan pada harga RM949. Namun bermula 22 Mac ini, HONOR 8X akan dijual pada harga RM849 iaitu RM100 lebih murah daripada harga asal.

Menurut HONOR Malaysia, ia adalah harga kekal terbaru bagi peranti berkenaan dan bukannya ditawarkan untuk tempoh-tempoh tertentu sahaja.

 



HONOR 8X hadir dengan beberapa spesifikasi menarik seperti cip Kirin 710, kamera utama dwi-lensa 20MP+2MP selain mempunyai nisbah paparan pada peranti yang tinggi iaitu 91%.

Selain itu, ia juga dijana dengan bateri berkapasiti 3,750mAh dan dijalankan dengan sistem EMUI 8.2 namun dijangka akan menerima EMUI 9 tidak lama lagi.

Bagi anda yang berminat untuk mendapatkannya, anda boleh melayari laman sesawang HiHONOR, gedung rasmi HONOR di Lazada, 11Street dan Shopee atau pergi ke pengedar-pengedar rasmi HONOR berhampiran anda.

 

Sumber: HONOR Malaysia