Seperti yang kita tahu, Huawei mempunyai konflik dengan Amerika Syarikat yang membuatkan syarikat tersebut tidak dapat menggunakan Google Mobile Services (GMS) dan sekaligus memberi tempias sama kepada anak syarikat mereka, HONOR. Tanpa GMS, sudah pasti pengguna pasaran global seperti kita rasa kurang bernafsu untuk memilih jenama-jenama ini sewaktu membeli telefon baru.
Walaupunbegitu, Huawei dan HONOR kini sudah bercerai talak tiga dan sumpahan ‘takde GMS’ sudah berakhir pada sub jenama itu. Kini, membuka lembaran baru HONOR masuk ke pasaran tempatan membawakan model HONOR 50 dan jangan risau, ia ada GMS.
Spesifikasi
- Snapdragon 778G 5G
- Memori 6GB/8GB/12GB
- Storan 128GB/256GB
- Paparan OLED, 1B colors
- Kadar segar semula 120Hz
- Magic UI 4.2 berasaskan Android 11
- 108MP kamera utama
- 8MP kamera ultra lebar
- 2MP kamera makro
- 2MP kemera depth
- 32MP kamera swafoto
Ciri yang menarik
Pertama sekali kita sebut tentang skrin terlebih dahulu. Honor 50 ini menggunakan paparan jenis OLED dengan warna 1 bilion . Warna yang dihasilkan bagi peranti ini amat jelas, terang dan vibran jadi untuk tengok video atau filem memang seronok.
Peranti ini juga turut menyertakan ciri seperti kadar segar semula 120Hz, paparan lubang kamera, dan pengecasan pantas 66W yang membuatkan peranti ini relevan untuk tahun ini.
Cuma kekurangan pada skrin Honor 50 ini ialah ia menggunakan skrin jenis melengkung. Bagi saya sendiri, saya memang tidak suka dengan skrin jenis melengkung ini kadang-kadang akan ada masalah tersentuh pada bahagian tersebut. Tetapi bagi sesiapa yang tidak peduli tentang skrin jenis melengkung ini, memang tiada masalah untuk menggunakan peranti ini.
Untuk antara muka (user interface) pula, Honor 50 ini menggunakan Magic UI 4.2 berasaskan Android 11. Dari segi penggunaan UI ini memang lancar dan bloatware juga tidak banyak. Cuma rekaan UI ini sahaja yang tidak beberapa sesuai dengan penggunaan saya.
Dari segi warna pula, warna peranti yang saya dapat ini adalah Frost Crystal. Jujur kata, warna ini bagi saya memang buruk kerana saya tidak suka dengan warna kelipan-kelipan yang terdapat pada panel balakang peranti ini. Bagi sesiapa yang minat boleh terus pilih warna ini tetapi bagi sesiapa yang kurang berminat pula boleh pilih warna lain seperti Midnight Black, Emerald Green dan Amber Red.
Kamera Setanding dengan Huawei
Kita pergi kepada fokus utama peranti ini iaitu kamera. Honor ini merupakan antara peranti yang memfokuskan kepada kamera.
Untuk rekaan kamera Honor 50 ini agak unik kerana rekaan kameranya yang besar. 1 kamera pada bahagian atas dan 3 lagi kamera pada bahagian bawah. Rekaannya yang unik juga menampakkan identiti peranti ini tidak seperti peranti lain yang menggunakan rekaan kamera yang seakan-akan sama.
Gambar yang dihasilkan oleh kamera utama memang cantik. AI juga dihidupkan dan gambar yang dihasilkan memang tidak over saturated, warna lebih vibran dan memang saya puji untuk kamera utama peranti ini.
Honor 50 ini boleh zoom hingga 10x tetapi gambar akan jadi tidak berapa jelas. Oleh itu, saya cuma sarankan agar menggunakan 2x zoom sahaja. Tetapi jika anda hendak ambil gambar dengan 10x zoom juga masih tiada masalah kerana kamera ini mempunyai lensa 108MP.
Beralih kepada kamera ultra lebar pula, saya kurang minat dengan kamera ini kerana gambar yang dihasilkan agak under saturated. Walaupun selepas hidupkan AI, warna yang dihasilkan masih tidak sama dengan kamera utama.
Keluasan kamera ultra lebar ini juga adalah 112 darjah dan jika dibandingkan dengan kamera utama, tidak nampak perbezaan yang ketara.
Gambar bagi potrait pula akan membuatkan kulit anda nampak lebih cerah sedikit. Bagi saya, saya tidak rasa perkara ini menjadi masalah kepada saya tetapi bagi anda yang tidak gemar dengan perkara ini mungkin Honor 50 ini tidak beberapa sesuai kepada anda yang minat untuk mengambil gambar menggunakan mod potrait.
Pada kamera swafoto pula, saya berminat dengan gambar yang dihasilkan. Walaupun warna kulit menjadi sedikit cerah, namun ia menampakkan warna yang lebih natural. Tidak seperti peranti Android lain yang membuatkan warna kulit saya lebih nampak pucat.
Satu lagi yang saya tertarik adalah pada mod malam kerana gambar yang dihasilkan cantik, jelas dan menjadikan gambar yang diambil tidak terlalu terang untuk menampakkan ia lebih natural.
Untuk video saya jelaskan secara ringkas sahaja. Video boleh dirakam dengan resolusi 4K 30FPS untuk kamera utama dan 1080 60FPS untuk kamera swafoto. Secara keseluruhan untuk penggunaan video memang puas hati dengan warna dan pencahayaan yang dihasilkan.
Kesimpulannya, bagi anda yang mencari telefon yang memfokuskan kepada kamera yang setanding dengan peranti Huawei, pengalaman guna yang lancar, mempunyai GMS, Honor 50 adalah antara yang terbaik buat masa ini. Honor 50 ini hadir dengan 2 varian iaitu RM1699 (6GB+128GB) dan RM1999 (8GB+256GB).