Honor 10 Lite Mula Ditawarkan Di Malaysia Pada 9 Januari Ini

Syarikat pengeluar telefon pintar China, Honor hari ini mengesahkan bahawa model terbaru mereka, Honor 10 Lite akan mula dipasarkan di Malaysia pada 9 Januari ini.

Ia akan ditawarkan di laman Lazada dan HiHonor sehari selepas pelancaran rasminya di negara ini pada 8 Januari nanti.



Menariknya, sekiranya anda mengesahkan pembelian di laman tersebut sebelum jam 1 petang pada tarikh berkenaan dan tinggal di kawasan Lembah Klang, anda akan menerima Honor 10 Lite anda pada hari yang sama.

Honor 10 Lite hadir dengan cip pemprosesan HiSilicon Kirin 710 dan bateri berkapasiti 3,400mAh. Ia juga dilengkapi dengan tetapan dwi-kamera utama 13MP+2MP serta kamera swafoto 24MP.

Bagaimanapun, harga pasaran bagi peranti ini hanya akan diumumkan semasa majlis pelancarannya kelak. Untuk maklumat lanjut mengenai pengumuman ini, anda boleh ikuti laman Facebook rasmi Honor Malaysia.

 

Sumber: Honor Malaysia