Honor 10 Lite Dilancarkan Secara Rasmi, Dikuasakan Dengan GPU Turbo 2.0

Selepas enam bulan Honor 10 diperkenalkan, Honor telah melancarkan satu lagi model dibawah siri tersebut iaitu Honor 10 Lite baru-baru ini. Pelancaran telefon pintar itu telah dilakukan dalam satu majlis di China semalam(21 Nov).

Honor 10 Lite hadir dengan reka bentuk dan kecerunan warna menarik, di mana ia menjadi daya tarikan utamanya, menurut Honor. Peranti ini memiliki dua variasi warna cerun iaitu biru dan merah. Ia juga ditawarkan pada warna putih dan hitam, namun tidak mempunyai kecerunan warna.

Kapsyen: Kredit: Honor


Berbeza dengan Honor 10, Honor 10 Lite hanya mempunyai takuk bersaiz kecil pada sisi atas panel paparan 6.21-inci yang digunakannya. Peranti ini akan dijana dengan bateri berkapasiti 3,000mAh dan menggunakan sistem EMUI 9 berlandaskan Android 9 Pie dari dalam kotak.

Dari segi kameranya, peranti ini dilengkapi dengan dwi kamera utama 13MP f/1.8 + 2MP serta kamera hadapan 24MP. Seperti biasa, kamera peranti ini juga disokong oleh teknologi kecerdasan buatan(AI).

Kekuatan dalaman yang ada pada peranti ini tidak jauh berbeza dengan Honor 8X. Ia dibekalkan dengan pilihan memori 4GB atau 6GB dengan simpanan dalaman 64GB atau 128GB selain menggunakan cip pemprosesan HiSilicon Kirin 710. Honor 10 Lite ini juga dikuasakan dengan GPU Turbo 2.0.

Kapsyen: Kredit: GSMArena


Honor 10 Lite ditawarkan bermula hari ini di China dengan harga CNY 1,399(~RM 847) untuk variasi 4GB/64GB, CNY 1,699 (~RM 1028) untuk variasi 6GB/64GB manakala variasi 6GB/128GB pula didagangkan pada harga CNY 1,899(~RM 1,150).

Setakat ini tidak dapat dipastikan sama ada peranti ini akan dibawa masuk ke pasaran tempatan ataupun tidak.

 

Sumber: Android Authority

Berkaitan