Honor 10 Bakal Terima Sokongan GPU Turbo Dan AIS Ogos Ini

Sokongan GPU Turbo telah diumumkan pertama kali oleh Huawei pada semasa memperkenalkan peranti Honor Play pada Jun yang lepas. Baru-baru ini pula, Huawei telah mengumumkan peranti-peranti keluaran mereka dan Honor yang akan menerima sokongan tersebut.

Salah satu daripada peranti berkenaan adalah Honor 10. Ia merupakan peranti kelas perdana keluaran terkini Honor yang lebih menfokuskan kepada kualiti gambar pada asalnya. Tapi, berdasarkan kebolehan yang ada pada sistem cipnya, peranti ini turut menjadi pilihan untuk penggemar permainan video.



GPU Turbo akan membantu peranti untuk mengoptimumkan prestasi grafik dan penggunaan kuasa bateri semasa bermain permainan video. Ia dikatakan akan memberi lebih kepuasan dan keselesaaan kepada pemain.

Selain GPU Turbo, Honor 10 turut akan menikmati teknologi penstabilan imej automatik atau AIS bagi mempertingkatkan kualiti gambar dan video yang diambil. Ia sekaligus akan mengurangkan kesan kabur dan gegaran yang tidak diingini pada gambar dan video.



Teknologi ini juga didakwa mampu mencapai sehingga 98% ketepatan dalam menentukan sama ada peranti sedang dipegang dengan tangan atau alat sokongan semasa mengambil gambar atau video. Ia juga dikatakan mengambil masa selama 0.2 saat untuk berfungsi.

Sebagai peringatan, Honor 10 hadir dengan cip pemprosesan Kirin 970, skrin IPS LCD 5.84 inci FHD+, kamera utama dwi-lensa 16MP + 24MP dengan teknologi AI, kamera hadapan 24MP serta bateri dengan kapasiti 3,400 mAh.

Sumber