HMD Rancang Umum Nokia 7.3 Dan Nokia 9.3 Sekitar Ogos Atau September Depan

HMD Global merancang untuk mengumumkan dua buah model terbaru dalam pasaran pertengahan dan flagship pada suku ketiga tahun ini.

Model yang dimaksudkan adalah Nokia 7.3 bagi kelas pertengahan sementara pertaruhan flagship akan dibuat menerusi Nokia 9.3. Acara pengenalan kedua-dua peranti ini bakal diadakan sekitar Ogos atau September hadapan.

Difahamkan bahawa prototaip peranti-peranti ini sedang menjalani ujian dan ia berjalan dengan lancar. Dikatakan juga Nokia 7.3 akan mempunyai dua variasi dengan salah satunya mempunyai sokongan 5G.

Dari segi spesifikasi, Nokia 7.3 mungkin membawakan Snapdragon 730, skrin 6.3 inci FHD+, kamera swafoto 24MP ditempatkan pada paparan berlubang, kamera belakang 48MP+12MP+2MP+2MP, RAM 4GB/6GB, storan 64GB/128GB, bicu audio 3.5mm, serta bateri 4000mAh.

Bagi model Nokia 9.3, ura-ura menyatakan ia dilengkapkan dengan Snapdragon 865, skrin pOLED 6.29 inci QHD+, kamera swafoto 32MP, RAM 6GB/8GB, storan 128GB/256GB serta bateri 4500mAh.

Walaubagaimanapun pelancaran tersebut masih bergantung kepada situasi semasa dimana ketika ini dunia dilanda dengan wabak Covid-19.