HiSilicon Kirin 980 Mungkin Bakal Diperkenalkan Pada IFA 2018

IFA 2018 seperti yang diketahui akan diadakan di Berlin, Jerman pada hujung bulan ini. Acara tersebut menjadi salah satu platform bagi syarikat-syarikat pembangun memperkenalkan produk-produk baru yang dihasilkan oleh mereka.

Huawei juga tidak ketinggalan daripada menyertai acara itu pada tahun ini. Mereka telah pun mengeluarkan satu poster bagi mengundang pengunjung untuk ke acara berkenaan. Sumber memaklumkan Huawei akan menggunakan acara yang akan dilangsungkan pada 31 Ogos itu bagi memperkenalkan cip Kirin terbaru mereka.


Kredit : GSMArena


Sistem cip yang dimaksudkan ialah HiSilicon Kirin 980. Ia telah pun dibangunkan sejak beberapa bulan yang lepas dan terdapat beberapa buah peranti yang telah digembar-gemburkan untuk menjadi yang pertama menggunakannya.

Walaupun Huawei masih belum mengesahkannya, pemerhati industri yakin bahawa jemputan berkenaan adalah bagi pelancaran cip Kirin 980. Ini kerana, cip Kirin 970 juga diperkenalkan pada acara yang sama tahun lepas.


Kredit : GizmoChina


Orang ramai pastinya teruja berkenaan perkara ini kerana Huawei turut dikatakan akan mendatangkan sistem cip tersebut bersama dengan GPU mereka sendiri. GPU itu dikatakan mampu beroperasi sehingga hampir 50% lebih baik berbanding Adreno 630.

Sekiranya benar, ia merupakan satu perkembangan yang baik kerana cip Kirin sebelum ini didakwa mempunyai sistem grafik yang agak sederhana, berbanding pesaingnya Qualcomm Snapdragon. Bagaimanapun, NPU yang dimiliki mampu memberikan pengguna pengalaman bergambar yang amat memuaskan.

Sumber