Hero WannaCry Terlepas Daripada Hukuman Penjara 10 Tahun

Dia juga dibenarkan pulang ke U.K tanpa dikenakan sebarang denda.


Penggodam dan hero yang telah memberhentikan serangan perisian hasad WannaCry, Marcus Hutchins telah terlepas daripada hukuman penjara 10 tahun di A.S.

Tetapi beliau masih berada di bawah pemantauan pihak berkuasa dalam tempoh setahun selepas dia dibebaskan daripada pertuduhan yang dihadapinya.

Marcus Hutchins aka MalwareTech merupakan seorang pakar pembangun perisian komputer yang telah berjaya menyekat serangan perisian hasad WannaCry daripada tersebar luas pada tahun 2017 lalu.

Kejayaan itu sekaligus telah menjadikannya sebagai seorang hero diseluruh dunia.

Walaubagaimanapun, beberapa bulan selepas insiden itu berjaya ditangani, beliau telah ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Las Vegas ketika dia ingin pulang semula ke U.K selepas menghadiri persidangan keselamatan Black Hat dan DEF CON.

Penahanan tersebut dibuat selepas pihak berkuasa mendapati Hutchins adalah individu yang bertanggungjawab membangun dan menyebarkan perisian hasad Kronos dan UPAS-Kit iaitu sejenis perisian hasad trojan yang khusus dibangunkan bagi menyerang sistem perbankan sekaligus mencuri kata laluan dan maklumat sulit dari laman sesawang perbankan.

Beliau telah mengaku salah di atas tindakan tersebut dan menyesali perbuatannya itu. Dia kini memfokuskan berkongsi kemahiran menganalisis perisian hasad yang dimilikinya serta berkongsi maklumat dengan komuniti keselamatan komputer.

Sumber: BBC

Berkaitan