Bagi yang belum sedia maklum, NASA telah berjaya menerbang dan mendaratkan helikopter pertama di planet Marikh.
Helikopter yang dikawal secara jauh dari pusat kawalan NASA di bumi itu dikenali sebagai Ingenuity.
Berdasarkan kepada spesifikasi teknikal Ingenuity yang dikongsikan oleh NASA, helikopter tersebut adalah seberat 1.8kg, dilengkapi kipas sepanjang sepanjang 1.2 meter dan bateri Lithium-ion yang dicas menggunakan panel solar.
Tetapi menerusi perkongsian oleh Dave Burke dari pasukan Android, beliau turut berkongsikan satu lagi fakta menarik yang ada pada helikopter tersebut.
Menurut beliau, Ingenuity dikuasakan oleh model cip pemprosesan Snapdragon 801 yang telah ditala khas bagi misi ke planet merah itu.
Bagi peminat Android, cip pemprosesan Snapdragon 801 adalah tidak asing bagi mereka. Ini kerana ia pernah digunakan bagi menguasakan beberapa model telefon pintar dalam tahun 2014 dahulu seperti Samsung Galaxy S5 dan OnePlus One.
Cumanya untuk Ingenuity, ia tidak dikuasakan oleh sistem operasi Android, sebaliknya i menggunakan sistem operasi Linux bagi melaksanakan arahan sistem navigasi penerbangannya.
Ingenuity boleh diterbangkan selama 90 saat, diterbangkan setinggi 5 meter dan mampu mencapai jarak penerbangan sehingga 300 meter.
Sumber; NASA, 9TO5GOOGLE