Hati-Hati Penipuan Jualan Topeng Muka, Boleh Semak Guna Aplikasi Scammer CCID

Hari ini genap tujuh hari rakyat Malaysia menjalani Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Ketika mana kita semua diselubungi kebimbangan Covid-19, terdapat pihak yang menangguk di air yang keruh dengan melakukan penipuan secara dalam talian.

Berdasarkan perkongsian daripada Facebook Cyber Crime Alert Royal Malaysia Police, sejumlah 336 kertas siasatan dibuka berkaitan penipuan jualan topeng muka dalam talian. Angka tersebut direkod sejak bulan Januari sehingga hari ini, 24 Mac dan 240 kes merupakan tawaran daripada Facebook.

Kepada orang ramai, anda dinasihatkan supaya berhati-hati dalam membuat pembelian topeng muka secara dalam talian. Antara tips yang boleh anda ikuti adalah dengan meneliti terlebih dahulu komen atau ulasan yang diberikan pengguna lain. Sekiranya anda membeli daripada platform beli-belah dalam talian seperti Shopee, jangan sesekali membuat pembayaran diluar platform.

Selain daripada itu, anda juga boleh menggunakan aplikasi yang dibangunkan khas yang ditawarkan oleh PDRM iaitu Check Scammers CCID. Melalui aplikasi ini, anda boleh menyemak sama ada nombor akaun bank atau nombor telefon penjual tersenarai dalam rekod penipuan dengan pihak polis ataupun tidak.

Anda boleh memuat turun aplikasi Check Scammers CCID dari Google Play Store.

Baca juga - Elakkan Penipuan Urusniaga Dalam Talian Dengan Menyemak Nombor Akaun Bank Atau Nombor Telefon