Hari Ini Adalah Hari Terakhir Permohonan Set Dekoder myFreeview Percuma

Mohon segera sebelum tamat hari ini.


Sebelum ini telah dimaklumkan bahawa tarikh akhir permohonan set dekoder myFreeview percuma bagi isi rumah B40 dan golongan Orang Kurang Upaya (OKU) adalah pada 31 Mei 2020.

Jadi hari ini merupakan hari terakhir untuk anda membuat permohonan tersebut.

Oleh itu, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) menggesa supaya pengguna yang layak untuk segera memohon yang boleh dibuat menerusi laman sesawang www.mytvbroadcasting.my/B40 atau menghubungi MYTV Careline di talian 1800-18-1088.

SKMM dalam satu kenyataan media memaklumkan bahawa setakat 25 Mei 2020, seramai 157,276 individu terdiri daripada isi rumah B40 dan OKU telah mendaftar nama mereka untuk mendapatkan set dekoder myFreeview percuma.

Pengguna yang sudah memohon dan layak dijangka akan menerima set dekoder mereka melalui perkhidmatan kurier yang akan dihantar ke seluruh negara secara berperingkat mulai bulan Jun ini.

MyFreeview ialah jenama platform TV digital tanpa bayaran bulanan yang menampilkan 15 saluran televisyen definisi tinggi (HD) dan 6 saluran radio.

Berkaitan