Harga Siri Huawei P40 Mungkin Dijual Lebih Rendah Disebabkan Ketiadaan Servis Google

Siri P dari Huawei merupakan antara peranti popular yang menjadi model premium alternatif seperti Samsung dan juga iPhone. Untuk tahun ini, Huawei P40 merupakan peranti terpenting untuk syarikat tersebut.

Yang pertamanya, ia bakal mengisi semula legasi kepopularan Huawei P30 Pro sebagai sebuah peranti dengan kamera yang cemerlang. Yang keduanya, tahun ini siri flagship tersebut akan dilancarkan dengan ketiadaan servis Google.

Jadi, nampaknya Huawei terpaksa mencari jalan untuk meyakinkan pengguna untuk membeli siri P40 walaupun dengan ketiadaan aplikasi Google. Salah satu cara tersebut adalah dengan menjual siri Huawei P40 tersebut dengan harga yang lebih rendah.

Menurut sumber, model P40 akan dijual pada harga bermula 3599 Yuan (~RM2,117) sehingga 6599 Yuan (~RM3,882) di China. Sebagai perbandingan siri P30 sebelum ini dijual pada harga bermula 3,988 Yuan sehingga 6,788 Yuan.

https://twitter.com/RODENT950/status/1221602208543903745

Walaupun Huawei mempunyai pengganti servis Google dengan ekosistem yang dinamakan Huawei Mobile Services (HMS), masih ramai yang skeptikal untuk menggunakannya. Dengan harga dijual yang lebih rendah, ia sedikit sebanyak menjustifikasikan ketiadaan servis Google tersebut pada peranti Huawei P40.

Google tahun lepas mengecaj sebanyak 40USD untuk memuatkan aplikasi Google untuk setiap peranti Android di Eropah. Mungkin ini antara faktor bagaimana harga siri P40 boleh menjadi lebih rendah.

Namun apa yang penting, mampukah Huawei menawan hati pengguna dengan peranti yang lebih rendah (jika benar) walaupun dengan ketiadaan servis Google? Sama-sama kita nantikan pelancarannya Mac nanti.

Sumber: @RODENT950