Hanya Guna Satu Pemacu USB, Seorang Bekas Pelajar Kolej Memusnahkan 66 Buah Komputer Dengan Nilai Kerosakkan Lebih USD 58,000

Caranya, hanya dengan menggunakan satu peranti USB pembunuh.


Seorang bekas pelajar Kolej Saint Rose, Albany, New York didakwa telah memusnahkan sebanyak 66 buah komputer.

Keseluruhan kerugian kemusnahan peralatan komputer tersebut dianggarkan lebih daripada USD58,000.

Insiden yang dilaporkan berlaku pada 14 Februari lalu telah dilakukan suspek bernama Vishwanath Akuthota, berusia 27 yang merupakan bekas pelajar antarabangsa kolej tersebut yang berasal dari India.

Keseluruhan kejadian telah turut dirakam oleh suspek sendiri. Suspek di dalam rakaman tersebut berkata "I'm going to kill this guy," "it's dead," and "it's gone. Boom," kata Akuthota sepertimana yang dilaporkan dalam laporan pihak pendakwaan.

Apa yang menarik dalam kes ini adalah cara suspek memusnahkan komputer-komputer tersebut.

Suspek didapati telah menggunakan hanya satu sahaja peranti USB pembunuh yang dibelinya dari internet bagi memusnahkan 59 buah komputer Microsoft Windows dan 7 buah Apple iMac milik kolej tersebut.

Kapsyen: Contoh kit USB pembunuh yang boleh dibeli dari internet. Kredit imej: USB KILL


USB pembunuh merupakan sebuah peranti yang berfungsi mengecas dengan pantas kapasitor yang terdapat di dalam peranti tersebut dari bekalan kuasa slot USB.

Ia kemudiannya menghantar semula kuasa elektrik dariUSB pembunuh ke dalam slot USB yang disambungkan dengannya.

Akibatnya, ia akan menghanguskan komponen-komponen yang terdapat di dalam komputer.

Suspek telah ditahan pada 22 Februari lalu dan telah mengaku melakukan jenayah tersebut. Dia akan dipenjarakan pada 12 Ogos akan datang serta berdepan dengan 10 tahun tahanan dalam penjara dan denda sebanyak USD250,000.

Sumber: ZDNet