Hajat Upin Dan Ipin Untuk Menjejakkan Kaki Di Oscar 2020 Tidak Kesampaian

Terus berusaha, jangan putus asa.


Pihak Anugerah Akademi (Oscar) telah pun mengumumkan barisan nama pelakon, pengarah, judul filem dan lain-lain yang layak untuk dipertandingkan dalam anugerah filem berprestij itu sebentar tadi.

Bagi rakyat Malaysia pastinya semua tertumpu kepada syarikat produksi animasi 3D Upin dan Ipin iaitu Les’ Copaque yang telah pun disenaraikan untuk dinilai sebagai calon akhir ke Oscar 2020.

Walaubagaimanapun, hasrat untuk melihat filem animasi negara itu tercalon sebagai filem Malaysia pertama layak dipertandingkan dalam anugerah itu nampaknya tidak kesampaian.

Ini kerana filem Upin & Ipin: Keris Siamang Tunggal tidak terpilih sebagai calon akhir bagi kategori filem animasi terbaik untuk anugerah berprestij itu

Sebaliknya filem animasi yang tercalon untuk kategori itu adalah How to Train Your Dragon: The Hidden World, I Lost My Body, Klaus, Missing Link danToy Story 4.

https://twitter.com/lescopaque/status/1216746768974528512

Namun begitu, rakyat Malaysia masih boleh berbangga kerana filem Upin & Ipin: Keris Siamang Tunggal telah menjadi filem animasi pertama Malaysia yang berjaya menempatkan diri dalam senarai 32 calon akhir daripada ratusan penyertaan yang diterima dari seluruh dunia.

Malah usaha Les’ Copaque amat perlu dipuji kerana produksi tersebut berusaha sendiri menerbangkan kakitangannya ke Los Angeles bagi menghantar DVD filem tersebut sampai ke tangan pihak penganjur Oscar untuk memastikan mereka turut sama seterusnya menjadi wakil filem Malaysia ke Oscar.

Tahun 2019 memperlihatkan perkembangan yang sangat positif bagi produksi animasi tempatan di mana hasil kutipan dari 3 filem animasi yang ditayangkan tahun 2019 lalu iaitu menerusi  Ejen Ali The Movie, BoBoiboy 2 The Movie dan Upin & Ipin: Keris Siamang Tunggal telah berjaya membuat kutipan mencecah RM90 juta.

Kapsyen: Filem Ejen Ali The Movie (lebih RM30 juta), BoBoiboy 2 The movie (RM29,572,074.00) dan Upin & Ipin: Keris Siamang Tunggal (RM26,195,229.10). Sumber: Finas

Berkaitan