Gunung Everest Kini Mempunyai Sokongan Infrastruktur 5G

China Mobile, pengendali rangkaian terbesar di China telah berjaya memasang stesen pangkalan 5G di Gunung Everest yang merupakan gunung tertinggi di dunia.

Pada 19 April, pemasangan 5G telah berjaya dilakukan di dua kem induk dengan altitud 5300 meter dan 5800 meter yang membolehkan kelajuan muat turun mencecah 1 Gigabit per saat.

Gunung Everest 5G

Selain itu, China Mobile turut dijangka akan menyiapkan pemasangan tambahan dua stesen pangkalan yang menyediakan rangkaian 5G sebelum 25 April di Advanced Base Camp pada altitud 6500 meter.

Gunung Everest 5G

China Mobile menyatakan bahawa lebih daripada 150 pekerja mengambil bahagian dalam pembinaan dan penyelenggaraan stesen pangkalan 5G baru, serta menaik taraf infrastruktur yang ada di kawasan sekitarnya.

Bagi menjayakan projek sambungan 5G ini, syarikat pengendali itu dikatakan telah menyediakan kabel optik sepanjang 25km.

Buat masa sekarang, China Mobile masih belum mendedahkan mengenai kos pembinaan stesen pangkalan 5G tersebut, namun terdapat laporan dari akhbar China yang menyatakan pemasangan satu stesen pangkalan 5G di Gunung Everest boleh mencecah kos sehingga 1 juta yuan (~RM615,000).

Dalam pada itu, laporan turut menyatakan dengan pemasangan infrastruktur 5G ini, ia akan menjadi stesen pangkalan 5G tertinggi di dunia.

Sumber: RCR Wireless News