Guna Nama Perdana Menteri Malaysia, Orang Ramai Diminta Waspada Dengan Penipuan Aplikasi Ini

Akhir-akhir ini, pelbagai berita dan maklumat yang tidak sahih telah disalurkan kepada orang ramai. Kini, melalui pendedahan dari Sebenarnya.my, orang ramai dinasihatkan untuk berhati-hati dengan laman sesawang yang menggunakan nama Kerajaan Malaysia yang meminta pengguna memuat turun aplikasi dengan nama Perdana Menteri Malaysia.

Mengikut laporan, aplikasi ini dipercayai cuba menggunakan pakej bantuan Covid-19 sebagai alasan untuk menarik perhatian pengguna memuat turun.

Berdasarkan semakan dan penelitian oleh pihak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), aplikasi tersebut mungkin mengandungi perisian hasad (malware) yang seterusnya membahayakan pengguna. Ini kerana, melalui perisian hasad, penjenayah siber boleh mendapatkan maklumat peribadi anda (phishing).

Bagi anda yang belum tahu, portal Sebenarnya.my adalah sebuah pusat sehenti bagi rakyat Malaysia untuk menyemak sebelum berkongsi berita yang tidak ditentukan kesahihannya, yang diterima secara dalam talian melalui platform media sosial, perkhidmatan mesej segera, blog, laman sesawang, dan lain-lain.



Dalam pada itu, bagi anda yang ingin mendapatkan maklumat terkini berkaitan berita palsu termasuk berkaitan Covid-19, layari laman sesawang atau sertai saluran rasmi Sebenarnya.my di Telegram.

Berkaitan