Guna Aplikasi Setel, Tidak Perlu Beratur Di Kaunter Untuk Beli Minyak

Apabila mengisi minyak, anda boleh memilih antara membuat bayaran secara tunai dengan beratur dikaunter atau menggunakan kad kredit/debit dipam. Di sesetengah stesen minyak, kaunter pembayaran berada agak jauh sedikit dari pam dan bagi anda yang mungkin baru pulih dari kecederaan ACL, jarak yang perlu dilalui itu umpama merentas desa.

Mempelbagaikan lagi kaedah pembayaran sedia ada, sebuah aplikasi e-dompet dikenali sebagai Setel telah diperkenalkan November tahun lalu untuk digunakan pada stesen minyak Petronas. Apa yang Setel boleh bantu anda?



Anda tidak perlu lagi mengheret anak-anak untuk dibawa beratur bersama dikaunter dan tiada lagi transaksi pra-kelulusan RM200 dipotong dari akaun debit atau kredit anda. Tambahan lagi, anda boleh pantau kos yang telah dibelanjakan untuk memberli petrol disamping menyemak mata ganjaran menerusi pautan aplikasi kepada kad Mesra.

Menariknya lagi, Setel juga memaparkan stesen minyak berhampiran dan navigasi ke stesen tersebut melalui aplikasi Waze atau Google Maps. Dengan hanya menekan beberapa butang pada aplikasi, petrol sedia dipam kedalam kereta anda. Bagaimana mahu gunakan Setel?

Muat turun aplikasi dari Google Play Store atau AppStore. Buka aplikasi untuk mendaftar dan setelah selesai log masuk, anda akan dibawa kepada paparan utama yang menunjukkan stesen minyak berhampiran.



 

Tekan Go To Station akan mengaktifkan aplikasi navigasi Waze dan jika anda mahu menukarnya kepada Google Maps, tekan saja pada nama stesen minyak itu. Ketika berada di pam, tekan butang Purchase Fuel dan boleh pilih nombor pam yang sedang anda berada.



 

Kemudian pilih amaun yang hendak dibayar. RM20, RM50 RM100 atau sebarang nilai yang dimahukan atau tekan butang Full Tank untuk isian penuh. Jika baki anda tidak mencukupi, boleh saja tambah nilai menerusi perbankan dalam talian atau menetapkan terus tambah nilai secara automatik. Namun begitu, anda disarankan untuk menambah nilai lebih awal supaya proses berjalan lancar dan mengelakkan dari berada lebih lama di pam minyak yang akan menggangu pelanggan lain.

Paparan selepas itu memerlukan anda memasukkan nombor PIN telefon pintar untuk tujuan pengesahan pembayaran. Boleh tetapkan nombor PIN atau pengesahan secara cap jari. Aplikasi akan berhubung dengan pam dan sesudah paparan menunjukkan Start Fuelling Now, anda bolehlah keluar dari kereta dan mulakan isian minyak.



Pastikan setiap proses dilakukan dalam kenderaan (kecuali mengiisi minyak ya) dan bukannya secara bersandar pada pam. Ini kerana anda tidak dibenarkan sama sekali menggunakan telefon pintar ketika berada di pam minyak. Resit isian minyak akan dihantar kepada emel yang telah didaftarkan awal tadi.

Mudah bukan? Tiada lagi rungutan untuk berjalan jauh ke kaunter atau  barisan yang panjang, tiada lagi kerisauan meninggalkan anak-anak kecil didalam kereta, tiada lagi perasaan cemas meninggalkan barangan berharga kerana semunya dilakukan didalam kereta, tekan-tekan Setel.

Buat masa sekarang, perkhidmatan Setel hanya tersedia di 274 buah stesen minyak Petronas sahaja dan diharapkan ia dapat dikembangkan lebih banyak lagi stesen minyak.