Guna 5 Aplikasi Percuma Ini Bagi Memuat Turun Video-Video dari YouTube Ke Dalam Komputer Anda

Aplikasi-aplikasi ini juga membolehkan anda memuat turun video-video dari laman Vimeo, Facebook, Daily Motion, Tumblr, Flickr, video 3D, Vine dan lain-lain.


Anda mungkin selalu menonton video di laman YouTube untuk hiburan, tutorial, video untuk tontonan anak-anak dan lain-lain.

Tetapi anda mungkin ingin memuat turun video-video kegemaran yang selalu ditonton itu ke dalam komputer bagi memudahkan anda menonton semula video-video tersebut terus dimainkan dari storan komputer anda.

Jadi di sini disenaraikan 5 aplikasi percuma untuk memuat turun video YouTube, Vimeo, Facebook, Tumblr, Flickr, Vine dan lain-lain.

1. ClipGrab




Aplikasi ClipGrab adalah sebuah aplikasi pemuat turun video YouTube yang popular. Selain YouTube, ia juga mampu memuat turun video-video dari laman-laman seperti Vimeo, Facebook, Daily Motion dan lain-lain.

Selain memuat turun video dan audio, ia juga dilengkapi dengan ciri menukar format video/audio kepada format MPEG, MP3 dan WMV (Windows Media Movie).

Cuma kelemahan utama aplikasi ClipGrab adalah ia hanya mampu memuat turun kualiti video definisi tinggi (1080p60) sahaja.

Versi terbaru aplikasi ClipGrab 3.8.2 ini boleh digunakan bersama sistem operasi komputer macOS (10.10 Yosemite dan terbaru), Windows 10, Windows 8 dan Windows 7 serta Linux.

2. MacX YouTube Downloader




Aplikasi MacX YouTube Downloader adalah sebuah aplikasi yang mampu memuat turun penstriman video dan muzik lebih daripada 300 laman video/audio yang berbeza.

Ini termasuklah laman YouTube, Facebook, Vimeo, Dailymotion, Vevo Soundcloud dan banyak lagi.

Kelebihan utama aplikasi ini adalah anda boleh menyimpan video YouTube pada resolusi atau format yang berbeza seperti YouTube SD, video HD 720P, 1080P video 3D sehinggalah kualiti video tertinggi video 8K / 4K.

Walaubagaimanapun, aplikasi ini hanya boleh digunakan bersama Mac OS X 10.5  dan terbaru sahaja. Tidak untuk pengguna Windows.

3. 5KPlayer




5KPlayer adalah sebuah lagi aplikasi berkuasa yang bukan sahaja berfungsi sebagai pemuat turun video YouTube, tetapi juga dilengkapi dengan ciri sokongan AirPlay, radio internet, pemain video DVD dan pemain muzik.

Ia juga mampu menukar format audio dari video yang dimuat turun kepada format MP3 atau AAC.

kelebihan utama aplikasi 5KPlayer adalah ia mampu memuat turun pelbagai jenis format video popular seperti MP4, MKV, MOV, AVI atau VR 360° dalam pelbagai saiz kualiti video seperti 4K, 5K, 8K, Ultra HD atau 1080p HD.

Kekurangannya pula adalah ia tidak dilengkapi ciri menukar format video. Jadi anda terpaksalah menggunakan aplikasi seperti HandBrake atau MacX Video Converter bagi menukar format video yang sedia ada.

Versi terbaru aplikasi 5KPlayer 5.7 ini boleh dimuat turun secara percuma untuk pengguna macOS dan Windows.

4. Any Video Converter




Aplikasi Any Video Converter pula bukan hanya setakat pemuat turun video YouTube sahaja, tetapi juga ia dilengkapi dengan ciri penyuntingan video, memasukkan kesan khas ringkas serta mampu menukar pelbagai jenis format fail video dan audio.

Ia menyokong pelbagai jenis format audio seperti MP3, AC3, OGG, AAC, WMA, M4A, WAV, APE, MKA, AU, M4B, AIFF, FLAC dan DTS.

Malah ia juga mampu menukar format video untuk pelbagai jenis peranti iOS, Windows Mobile dan Android seperti iPhone, iPad, Samsung, Microsoft Zune, Google Android dan banyak lagi.

Aplikasi ini terdapat versi percuma dan versi berbayar (Any Video Converter Ultimate)  yang berharga RM215.59.

Versi berbayar aplikasi ini dilengkapi dengan pelbagai ciri tambahan istimewa lain seperti merakam video skrin komputer, menyokong servis Netflix dan penstriman video langsung, menukar video DVD kepada format yang lain, membuat format video ke dalam DVD dan lain-lain.

Ia boleh digunakan bersama macOS dan juga Windows.

5. 4K Video Downloader




Aplikasi ke-5 yang boleh anda gunakan untuk memuat turun video-video dari internet adalah aplikasi 4K Video Downloader.

Ia adalah sebuah aplikasi ringkas yang boleh memuat turun video dari laman YouTube, Vimeo, Facebook, Tumblr, Dailymotion, Flickr, video 3D, Vine dan Twitch.

Kelebihannya adalah ia boleh memuat turun senarai video (playlist) YouTube sekaligus (tetapi tidak lebih daripada 25 video sekaligus), memuat turun video beserta sari kata (subtitles) serta dilengkapi dengan ciri Smart Mode.

Kelemahannya pula adalah anda hanya boleh memuat turun kualiti video tertinggi 1080p sahaja. Format video yang disokong pula adalah MP4, mkv dan 3GP sahaja.

Walaubagaimanapun, anda sebenarnya boleh memuat turun video berkualiti tertinggi sehingga 8K dari aplikasi ini.

Cuma anda perlu membeli aplikasi ini yang berharga USD15 bagi membolehkan anda menggunakan sepenuhnya ciri-ciri tambahan lain yang ada dalam aplikasi ini seperti memuat turun senarai video (playlist) dan Channels YouTube tanpa had.

4K Video Downloader boleh digunakan bersama macOS, Windows dan Linux.

Berkaitan