Grup WhatsApp Didakwa Antara Penyebab Kepada Masalah Kemurungan

Gunakan teknologi ke arah kebaikan, bukan sebaliknya.


Sudah pasti dalam kalangan kita mempunyai grup WhatsApp tersendiri. Grup WhatsApp membolehkan penggunanya menerima berita dengan lebih pantas dan mudah untuk berkongsi maklumat.

Pelbagai pihak mempunyai pendapat yang berbeza terhadap kewujudan grup WhatsApp. Ada yang mengatakan ia perkara yang baik, tetapi ada juga yang berpendapat ia boleh memberi kesan buruk kepada penggunanya.

Pihak portal Malaysiakini telah menemubual beberapa pakar bagi mendapatkan pandangan mereka berhubung isu yang mengaitkan kemurungan dengan grup WhatsApp.

Salah seorangnya adalah Pengarah Pusat Kaunseling Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Fauziah Mohd Saad. Menurut beliau, grup Whatsapp boleh dikategorikan antara faktor kepada kemurungan jika pengunaan terhadap aplikasi tersebut tiada batas.

“Kadang-kadang pengguna ketika itu mungkin tengah tertekan dan jika terlampau banyak (kumpulan Whatsapp) ia menjerumus kepada kemurungan,” Fauziah Mohd Saad.

Beliau menambah, kerana sikap segelintir pengguna yang menyalahgunakan kemudahan aplikasi tersebut telah menyebabkan kepada permasalahan ini.

Malah, mesej yang mengelirukan penerima juga boleh menyebabkan berlakunya salah faham.

“Ramai remaja sering mengeluarkan kata-kata tanpa tapis dan ia boleh menyentuh perasaan seseorang,” katanya lagi.

Walaubagaimanapun, beliau berpendapat, grup WhatsApp yang baik pula akan dapat membantu pesakit yang kemurungan.

Pendapat tersebut turut dipersetujui oleh Ketua Jabatan Psikiatri Fakulti Perubatan Universiti Mahsa, Prof Dr Hussain Habil.

Beliau menjelaskan, grup Whatsapp boleh dijadikan sebagai satu cara alternatif bagi membantu pihak yang mengalami kemurungan.

“Saya tidak rasa kita patut salahkan teknologi namun kita harus mengajar orang ramai untuk lebih bijak dalam mengunakan teknologi itu,”Prof Dr Hussain Habil.

Namun begitu, Pengarah Eksekutif Befrienders Kuala Lumpur Kenny Lim pula menyifatkan, grup Whatsapp adalah tidak begitu sesuai dari segi memberi sokongan emosi dan moral kepada mereka yang mengalami kemurungan.

Ini kerana beliau berpendapat mesej-mesej yang dihantar oleh ahli dalam sesebuah grup WhatsApp tidak begitu peka dengan perihal ahli yang lain.

“Ya benar ada juga mereka (pihak mengalami kemurungan) meminta tolong menerusi aplikasi itu (kumpulan Whatsapp) tetapi jika yang membaca adalah ahli pasif, mereka tidak akan ambil kisah,” katanya.

Sebaliknya, beliau menekankan bahawa, sokongan emosi sebaiknya diberikan secara langsung iaitu bersemuka dengan pesakit ataupun berbual cakap menerusi panggilan telefon.

Kemurungan adalah sejenis gangguan perasaan yang boleh dihidapi oleh sesiapa sahaja tidak kira umur, jantina atau bangsa. Mereka yang mengalaminya menyebabkan seseorang itu merasa sedih berpanjangan, keletihan dan ketiadaan tenaga, cepat marah serta hilang minat dalam aktiviti harian.

Kemurungan boleh berlangsung sehingga berbulan-bulan atau bertahun-tahun dan biasanya dikaitkan dengan kes bunuh diri.

Oleh itu, sekiranya anda mengenali dan mengetahui rakan, kenalan atau saudara mara anda yang mengalami kemurungan, bantulah mereka atau anda boleh dapatkan bantuan NGO seperti dari Befrienders.



Befrienders merupakan pertubuhan sukarelawan yang ditubuhkan sejak 1970 yang mneydiakan khidmat sokongan emosi kepada individu yang mempunyai masalah emosi yang serius sehingga mahu membunuh diri.

Selain menyediakan perkhidmatan talian bantuan melalui telefon dan e-mel, Befrienders juga menyediakan bantuan melalui temu janji untuk perjumpaan secara peribadi.

Anda boleh layari laman sesawang Befrienders Kuala Lumpur atau hubungi 603-79568145 bagi mendapatkan bantuan.