'Group Admin' WhatsApp Boleh Senyapkan Ahli 'Group' Tidak Lama Lagi

Pada hari ini, aplikasi sembang digital seperti WhatsApp atau Telegram semakin kerap digunakan sehingga kemudahan SMS kini semakin dilupakan. Menerusi aplikasi ini, pengguna dapat berhubung secara percuma selain dapat berhubung secara berkumpulan dengan fungsi Group yang terdapat dalam kebanyakkan aplikasi sembang yang ada sekarang.

Namun, pernahkah anda mengalami masalah group yang disalah gunakan? Sebagai contoh, group yang digunakan untuk berkongsi maklumat berkenaan kelas di kolej atau universiti tiba-tiba menjadi medan berceloteh oleh rakan sekelas anda? Kini, anda boleh menarik nafas lega kerana WhatsApp telah mendengar keluhan anda.



Menerusi satu laporan daripada akhbar Daily Mail, pihak Whatsapp kini sedang dalam usaha untuk membangunkan satu fungsi yang dinamakan 'Restricted Groups' yang akan membolehkan group admin untuk senyapkan ahli dalam group tersebut. Ini bermakna, hanya group admin sahaja yang boleh menulis kiriman pada group tersebut.

Ahli group akan dapat membaca kiriman dari admin tersebut namun mereka tidak boleh membuat sebarang respon tanpa kebenaran admin. Untuk membolehkan kiriman dibuat, seseorang ahli tersebut perlu menghubungi group admin untuk mendapatkan kebenaran terlebih dahulu. Ia boleh dilakukan menerusi fungsi butang 'Message Admin' yang bakal disediakan.



Selain daripada itu, admin juga boleh menetapkan untuk tidak membenarkan ahli menukar apa-apa info berkenaan group seperti imej profil dan nama group tersebut. Bagaimanapun, fungsi ini dikatakan tidak akan kekal selama-lamanya apabila didakwa cuma akan kekal untuk 72 jam sahaja. Ini bermakna selepas 72 jam, ahli biasa akan dapat untuk membuat kiriman dalam group semula.



Namun, tidak ada maklumat tentang bagaimana untuk admin mengaktifkan semula fungsi 'Restricted Group' ini selepas tempoh 72 jam itu berakhir. Fungsi yang pernah diumumkan buat pertama kali pada bulan Disember tahun lalu ini masih lagi dalam percubaan oleh pihak WABetaInfo dan dijangka akan tersedia pada kemaskini yang akan datang.

Sumber