Grab Mungkin Akan Berdepan Denda RM86.7 Juta Dari Suruhanjaya Persaingan Malaysia

Ia berkaitan dakwaan Grab didapati menyalahgunakan kedudukan dominannya dengan mengenakan beberapa sekatan ke atas pemandunya.


Syarikat perkhidmatan e-hailing, Grab Inc (Grab) dilaporkan akan berdepan didenda sebanyak RM86.7 juta kerana melanggar Seksyen 10 Akta Persaingan 2010 secara kolektif. Atau secara khususnya denda berjumlah RM86,772,943.76 dan penalti harian sebanyak RM15,000 daripada tarikh cadangan keputusan denda tersebut.

Denda itu yang dicadangkan oleh Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) itu dibuat setelah mendapati pihak Grab menyalahgunakan kedudukan dominannya dengan mengenakan beberapa klausa sekatan ke atas pemandunya.

Grab didakwa menghalang promosi dan tawaran perkhidmatan pengiklanan dari pesaing mereka dalam pasaran e-hailing dan pengiklanan media transit.

Cadangan denda itu dimaklumkan sendiri oleh Ketua Pegawai Eksekutif MyCC, Iskandar Ismail. Beliau berkata klausa-klausa sekatan yang dibuat Grab telah memberi kesan dari segi menjejaskan persaingan dalam pasaran relevan yang berteraskan platform pelbagai dengan mewujudkan sekatan bagi penyertaan dan pengembangan untuk pesaing Grab yang sedia ada dan di masa depan.

Di bawah Seksyen 10 Akta Persaingan 2010, sesebuah syarikat dihalang daripada terlibat, sama ada secara bebas atau kolektif dalam sebarang tingkah laku yang membawa kepada salah guna kedudukan dominan dalam sebarang pasaran bagi barangan atau perkhidmatan.

Walauabagaimanapun, keputusan untuk mendenda Grab masih belum muktamad kerana syarikat itu diberi tempoh 30 hari untuk mengemukakan representasi atau pembelaan kepada MyCC.

Berikutan itu pihak Grab telah respon dan terkejut dengan tindakan MyCC. Syarikat itu menegaskan bahawa mereka telah mematuhi sepenuhnya Akta Persaingan 2010 tersebut.

“Sementara peguam kami mengkaji keputusan cadangan itu, kami yakin ini merupakan amalan biasa perniagaan untuk menentukan kebolehsediaan dan jenis pengiklanan pihak ketiga di platform masing-masing yang disesuaikan mengikut keperluan dan maklum balas pengguna,” menurut jurucakap Grab dalam kenyataan mereka semalam.

Sumber: Bernama