GoPro Menarik Semula Drone Karma Dari Pasaran

GoPro baru-baru ini mengumumkan di laman web mereka untuk memanggil semula drone Karma di pasaran. Karma merupakan drone pertama dari GoPro yang terkenal dengan kamera aksi mereka. Karma yang baru mula dijual di pasaran pada bulan Oktober yang lepas kini menghadapi masalah yang rumit kerana terdapat beberapa insiden drone Karma mereka kehilangan kuasa. Dibawah adalah contoh video yang memperlihatkan Karma secara tiba-tiba hilang kuasa dan jatuh pada jarak 170 kaki. Anda boleh melihat beberapa video lain yang memaparkan insiden yang sama di Youtube.

[embed]https://www.youtube.com/watch?v=i4nRalvmBhA[/embed]

GoPro mendakwa mereka menjual 2,500 drone Karma setakat ini di pasaran US dan kesemua drone tersebut akan di panggil semula. GoPro membuat keputusan tersebut adalah kerana terdapat banyak laporan dan rungutan dari pengguna. GoPro juga turut berkata tiada kemalangan atau kerosakan harta benda dilaporkan setakat ini, namun mereka tidak pasti berapa banyak yang terkesan daripada jumlah 2,500 drone yang dijual.

CEO GoPro Nicholas Woodman turut memberikan kenyataan bahawa keselamatan adalah keutamaan bagi mereka. "Kami sedang berkerja bersama U.S. Consumer Product Safety Commission dan Federal Aviation Administration dalam menyelesaikan masalah ini. Pihak kami memohon maaf atas segala kerumitan dan kami berjanji akan menyelesaikan masalah ini dan memulangkan semula drone yang rosak secepat mungkin" ujarnya lagi.

Walaupun begitu, GoPro mengesahkan mereka masih akan meneruskan penjualan drone Karma dan akan mula mengedarkan drone mereka semula sejurus masalah tersebut diselesaikan. GoPro turut memberikan langkah yang perlu dibuat untuk memulangkan semula drone Karma di laman web mereka. Bagi pengguna yang tidak menghadapi masalah dengan drone Karma, GoPro turut menasihatkan untuk memulangkannya semula sebagai langkah berjaga-jaga.

Masalah GoPro sebenarnya bermula dengan pelancaran Hero Session pada $399 yang menunjukkan prestasi jualan yang lemah. Oleh kerana itu, GoPro menurunkan harga ke $299 dan ke $199. Sejak dari itu, GoPro merekodkan kejatuhan saham mereka sebanyak 20% dari suku ketiga tahun lepas. GoPro secara jelas mahu bersaing dengan DJI iaitu pengluar drone berkuasa tinggi di pasaran ketika ini, namun harapan mereka terpaksa ditangguhkan kerana insiden yang berlaku ini.

 

Berkaitan