Google Uji Butang Kawalan Pada Bar URL- Bolehkan Pengguna Kawal Media Yang Dimainkan Pada Tab Berlainan

Ketika melayari web melalui Google Chrome, pengguna mungkin juga memainkan media seperti muzik di YouTube sementara melakukan perkara lain pada tab yang berlainan.

Bagi memudahkan pengguna mengawal muzik atau video yang dimainkan itu, Google kini dilaporkan sedang menguji ciri dipanggil sebagai Global Media Controls, yang mana butang kawalan akan dipaparkan pada bar URL. Ia ujian tersebut dilakukan pada pelayar pembangunan Google, Canary.



Melalui ciri ini, ia membolehkan pengguna menukar muzik atau video selanjutnya tanpa perlu beralih kepada tab yang sedang memainkannya. Menurut laporan The Verge yang sudah mencuba ciri ini, ia berfungsi untuk video dari YouTube serta Vimeo.

Sekiranya anda mahu mencuba fungsi ini terlebih dahulu, boleh muat turun Chrome Canary, pergi ke halaman eksperimen (chrome://flags/), dan cari "Global Media Controls". Aktifkannya dan tutup pelayar sera lancarkannya semula. Selepas video atau muzik dimainkan, ikon Play akan kelihatan pada kanan bar URL. Tekan untuk paparan penuh butang kawalan.

Ketika ini, ciri tersebut dikatakan masih belum stabil dan tidak berfungsi dengan baik apabila butang ditekan. Oleh kerana ia masih lagi dalam fasa ujian, kita boleh menjangkakan bahawa fungsi lebih lancar akan diberikan sebelum ia ditawarkan kepada umum kelak.