Google Sahkan Mod Gelap Mampu Jimatkan Bateri

Pada acara Android Dev Summit beberapa hari lalu, Google ada menyatakan ciri mod gelap pada telefon pintar mampu menjimatkan kuasa bateri.

Menyokong kenyataan tersebut, Google ada membuat ujian menggunakan Pixel 2016 (AMOLED) dan iPhone 7 (LCD).

Google mendedahkan Pixel yang dipasang dengan skrin AMOLED, mampu dijimatkan penggunaan bateri kepada 63% apabila menggunakan mod malam pada Google Maps.



Selain itu, antara tiga warna utama, warna biru menggunakan lebih kuasa bateri, kira-kira 25% lebih kuasa berbanding dua warna lain iaitu merah dan hijau.





Berkenaan mod gelap, syarikat teknologi itu mengakui ia lebih baik berbanding warna putih kerana paparan dengan elemen putih menggunakan pelbagai komponen.

Google mengakui membuat kesilapan beberapa tahun lalu kerana membangunkan ciri dan menggalakkan pembangun memilih warna putih sebagai elemen utama dalam aplikasi.

Namun dengan kehadiran Android 9 Pie, Google mula mengetengahkan tema gelap untuk setiap aplikasi Google.

Mod gelap sememangnya digemari ramai pengguna kerana ia lebih "mesra mata", lebih-lebih lagi pada penggunaan pada keadaan gelap. Dengan pengesahaan dari Google ini, sudah pasti ramai yang mahukan mod gelap pada setiap ciri dan aplikasi mereka.

Sumber: FossyBytes