Google Play Store Bakal Buang Aplikasi Yang Mengakses Log Panggilan & SMS Pengguna

Pada era pemasaran digital hari ini, pelbagai cara digunakan oleh perbagai pihak untuk mendapatkan maklumat mengenai pengguna terutamanya melalui telefon pintar.

Sebagai contoh, ada pembangun aplikasi yang bekerjasama dengan pihak lain untuk mendapatkan data pengguna secara senyap melalui akses terhadap Log Panggilan dan SMS mereka.

Perkara itu telah mendapat perhatian pengelola gedung atas talian Play Store, Google dan mereka sudah mula mengambil tindakan untuk menyelesaikannya.



Melalui satu kenyataan terbaru mereka, Google memberi amaran kepada para pembangun untuk menghentikan keperluan akses kepada Log Panggilan dan SMS pengguna dengan segera.

Amaran itu dikeluarkan selepas mereka mengarahkan pembangun melakukan sedemikian buat kali pertama pada Oktober tahun lalu. Ketika itu, mereka memberikan pembangun tempoh selama 90 hari untuk mengambil tindakan.

Tempoh tersebut telah dilanjutkan sehingga 9 Mac ini bagi memberi peluang kepada para pembangun bagi aplikasi yang memerlukan akses tersebut untuk membuat deklarasi.

Para pembangun yang masih berdegil akan berdepan tindakan, di mana aplikasi mereka mungkin dibawa keluar dari gedung aplikasi Play Store kelak.

 

Sumber: 9to5Google   Android Developers Blog