Google Pixel Slate - Tablet Hybrid Dengan Chrome OS

Google mengambil kesempatan dalam pelancaran Google Pixel 3 dan Pixel 3 XL semalam untuk turut memperkenalkan Google Pixel Slate. Ia merupakan sebuah peranti tablet hybrid yang juga boleh digunakan sebagai komputer riba.

Malah, peranti ini hadir dengan spesifikasi menarik seperti penggunaan cip Intel Core i7-8500Y,  memori sehingga 16GB RAM, ruang simpanan 256GB serta cip keselamatan Titan. Dari segi saiz pula, tablet ini mempunyai skrin paparan seluas 12.3-inci.

Kapsyen: Kredit : 9to5google


Ini sekaligus menjadikannya peranti yang sesuai untuk menonton video dan bermain permainan video. Tambahan pula, dengan sokongan aplikasi Android pada Chrome OS, ia dijangka akan dapat menarik minat pembeli apabila mula dijual kelak.

Google turut menyediakan kemudahan yang patut ada dalam pada setiap tablet iaitu stylus. Kembali kepada statusnya sebagai tablet hybrid, malangnya papan kekuncinya, Pixel Slate Keyboard dan stylus akan dijual secara berasingan.

Kapsyen: Kredit : 9to5google


Selain itu, Pixel Slate ini akan disokong oleh bantuan pintar Google Assistant serta kamera dengan lensa 8MP di bahagian hadapan dan belakangnya.

Peranti yang dilaporkan bakal menjadi pesaing terus kepada produk Microsoft, Surface Pro ini dijual pada harga permulaan $599(~RM 2487) untuk variasi terendah.

Sementara itu, Pixel Slate Keyboard dan stylus pula akan ditawarkan masing-masing pada $199(~RM 826) dan $99(~RM 411). Penjualan produk ini akan bermula pada penghujung tahun ini.

Sumber : TheVerge