Google Pixel 4a Akan Dijana Cip Snapdragon 730, RAM 6GB, Dan Bateri 3,080mAh

Spesifikasi mengenai Google Pixel 4a mula didedahkan sedikit demi sedikit. Sebelum ini telah didedahkan mengenai imej yang dikatakan peranti Pixel 4a. Namun yang terkini, sudah ada video penuh pegang peranti berkenaan yang dimuatnaik ke YouTube.

https://www.youtube.com/watch?v=rLb0sW9vOEU

Video ini datangnya dari saluran TechnoLike Plus yang merupakan blog teknologi dari Cuba. Walaupun video hanya berdurasi 6 minit, terdapat banyak maklumat yang boleh diperoleh. Yang pertamanya, binaan Pixel 4a adalah serupa dengan 3a iaitu belakangnya menggunakan bahan plastik dan mempunyai pengimbas cap jari di tengah. Kemudian, modul kamera yang berbentuk petak adalah direka memimikkan flagship Pixel 4, namun ia sedikit kecil dan hanya mengandungi satu lensa 12MP dan juga unit cahaya flash.

Beralih ke bahagian hadapan, peranti menggunakan paparan berlubang dengan lensa swafoto bersaiz 8MP. Keseluruhan paparan adalah bersaiz 5.81 inci dengan resolusi Full HD+ 1080 x 2340 dengan panel 60Hz.

Bersembunyi di sebalik peranti adalah cip janaan Qualcomm Snapdragon 730, RAM dengan 6GB, dan juga storan dalaman tanpa sokongan kad microSD 64GB. Untuk bateri ia berkapasiti 3,080mAh. Antara fungsi lain adalah port pengecasan USB-C, sokongan dual SIM dan juga bicu audio 3.5mm.

Peranti tersebut tidak mempunyai logo Google di bahagian belakangnya, yang menandakan ia masih lagi model yang belum siap dibangunkan sepenuhnya.

Buat masa ini masih lagi belum diketahui sama ada akan ada varian Pixel 4a XL atau tidak. Jika ada, spesifikasinya mungkin tidak jauh beza dengan menggunakan paparan serta bateri lebih besar.

Sumber: TechnoLike Plus