Google Pixel 3 Mengalami Masalah Kepanasan Sehingga Mematikan Peranti

Sejak dilancarkan pada pertengahan Oktober yang lalu, Pixel 3 telah dilanda dengan beberapa isu dari masalah pengurusan memori hinggalah kepada isu penyimpanan foto.

Terbaru, peranti Google itu didakwa mengalami masalah kepananasan ketika sedang dicas, secara kabel dan juga secara tanpa wayar.

Dikatakan ia berlaku apabila pengguna melakukan aktiviti lain ketika dicas, peranti akan mengeluarkan notifikasi "phone is getting warm", membawa maksud suhu telefon meningkat dan melebihi tahap normal.

Ia kemudiannya disusuli dengan penurunan kelajuan pengecasan dan jika ia berlarutan, telefon mati secara sendiri dengan paparan "Phone turned off due to heat" apabila ia dihidupkan kembali.

Masalah ini berlaku dengan pengecas Pixel Stand, pengecas tanpa wayar pihak ketiga dan juga pengecas USB C.

Google masih belum memberi apa-apa kenyataan berkenaan hal ini. Sekiranya ia berpunca daripada sistem perisian, isu ini boleh diselesaikan menerusi kemaskini firmware.

Namun begitu, beberapa pemilik Pixel 3 yang bermasalah menyatakan unit baru yang ditukar tidak mempunyai isu kepanasan tersebut.

Sumber: 9t05 Google