Google Perkenal Papan Kekunci 'TalkBack' Braille Untuk Pengguna OKU Penglihatan

Google sedia menawarkan ciri Talkback dan kini giliran papan kekunci braille maya pula diperkenalkan pada peranti Android. Ini bermakna, pengguna cacat penglihatan tidak lagi perlu menggunakan perkakasan luaran dengan menggunakan fungsi terbina TalkBack ini.

Talkback Braille

Google menyatakan, mereka bekerjasama dengan pembangun braille dan pengguna dalam membangunkan fungsi ini. Oleh itu, ia akan menjadi biasa kepada sesiapa yang telah menaip menggunakan braille sebelum ini.

TalkBack menggunakan 6-kekunci standard dan setiap kekunci mewakili salah satu 6 titik braille yang apabila ditekan, menjadikan satu huruf atau simbol. Sebagai contoh, untuk menaip huruf 'A', hanya tekan pada titik 1 dan untuk menaip huruf 'B', tekan titik 1 dan 2.

Untuk mengaktifkan fungsi ini pada peranti Android, pergi ke bahagian Setting > Accessibility > TalkBack > Setting > papan kekunci Braille dan pilih "Tap to set up", serta ikuti langkah seterusnya di pautan ini.

Papan kekunci TalkBack braille tersedia pada peranti Android yang menjalankan sistem operasi 5.0 dan ke atas. Pada masa ini, TalkBack hanya menyokong Unified English Braille bagi gred 1 dan 2, serta berfungsi pada semua aplikasi Android.

Sumber: Google