Google Mungkin Keluarkan Pixel Yang Lebih Murah, Pixel 3 Lite

Siri Pixel diperkenalkan oleh Google pada 2016 yang lalu bagi menggantikan barisan telefon pintar siri Nexus.

Dikelaskan sebagai peranti kelas atasan, sudah pasti harga jualannya tinggi dan menghampakan sesetengah pengguna yang berminat.

Mungkin ingin memberi peluang kepada peminat dalam pasaran pertengahan, kini telah timbul ura-ura Pixel versi bajet akan dikeluarkan sebelum hujung tahun ini.

Menggarap laporan dari sebuah blog berpengkalan di Rusia, Rozetked, mereka mendakwa telah berkesempatan menggunakan Pixel 3 Lite.

Pixel 3 Lite membawakan kelengkapan seperti cip Snapdragon 670, RAM 4GB dan storan dalaman sebesar 32GB.

Paparan hadapan pula berukuran 5.56 inci dari jenis IPS dengan resolusi 2220 x 1080. Dijana dengan bateri berkapasiti 2915mAh, menarik lagi tentang model ini adalah sistem kamera utama 12MP dan kamera selfie 8MP, sama seperti model Pixel yang lain.

Namun begitu, logo yang tertera dibelakang sedikit berbeza dimana ia memaparkan huruf "C" dan bukannya "G".



Harga anggaran bagi Pixel 3 Lite dikatakan sekitar $400-$500 (~RM1675 - ~RM2093).

Kedatangan versi yang lebih murah ini dilihat sedikit bercanggah dengan kenyataan oleh Ketua Perkakasan Google, Rick Osterloh, dimana beliau menyatakan siri Pixel akan kekal premium.

Walaubagaimanapun, ia boleh diterima akal kerana pesaing lain seperti Apple yang mengeluarkan iPhone XR dan Samsung yang dikhabarkan mahu tampil dengan Galaxy S10 Lite seawal tahun hadapan.

Sumber: Rozetked