Google Mengumumkan App Defense Alliance Untuk Membanteras Perisian Hasad Di Google Play Store

Sejak kebelakangan ini, kita sering mendengar berita mengenai perisian hasad baik melalui App Store iOS mahupun Play Store Android. Terutamanya untuk Android, Google sebelum ini telah mempunyai Google Play Protect yang mengimbas aplikasi berbillion aplikasi dalam Play Store. Namun, masih ada juga perisian hasad yang menyelinap dan berada dalamnya. Untuk itu, Google telah mengambil inisiatif baharu dengan mengumumkan kerjasama dengan syarikat sekuriti untuk membanteras masalah ini.



 

Dipanggil App Defense Alliance, Google telah bekerjasama dengan syarikat sekuriti ESET, Lookout dan Zimperium. Objektif utama kerjasama ini adalah untuk menghalang dan mengurangkan risiko aplikasi hasad sebelum berada pada tangan pengguna Android. Oleh itu, kerjasama ini mengintegrasikan Google Play Protect terus ke dalam sistem imbasan syarikat sekuriti dinyatakan.

Sebelum aplikasi disiarkan dalam Play Store, sistem imbasan akan mencari maklumat berkaitan perlakuan hasad melalui pembelajaran mesin dan juga analisis. Mengikut Google, setiap daripada syarikat kerjasama itu mempunyai sistem sekuriti unik dan kelebihan masing-masing yang bekerjasama antara satu sama lain untuk mencapai objektif mereka.

Dengan kerjasama tersebut, diharapkan ekosistem Android lebih selamat dengan pengurangan aplikasi dan perisian hasad yang tersembunyi dalam Play Store.

Sumber: Blog Google, App Defense Alliance