Google Menentang Mod Kecantikan Dalam Kamera, Beri Impak Negatif Kepada Pengguna

Mod kecantikan atau lebih dikenali dengan Beauty Mode merupakan tetapan yang sering dimuatkan dalam kamera kebanyakan telefon di pasaran.

Dengan menggunakan mod kecantikan pada kamera terutamanya swafoto, pengguna akan lebih konfiden untuk mengambil gambar kerana kulit akan menjadi lebih licin, mata menjadi besar, dan sebagainya.

Namun, bukan semua jenama sehaluan dengan penyertaan mod kecantikan dalam telefon ini.

Google baru-baru ini menyuarakan keputusan untuk menentang mod kecantikan setelah membuat pelbagai kajian dan juga pakar dari kanak-kanak serta kesihatan mental.

Apa yang sebenarnya terjadi adalah, pengguna secara purata tidak sedar pun gambar yang diambil adalah hasil dari mod kecantikan.

Secara tidak langsung, gambar ini memberi impak negatif kepada pengguna dengan menetapkan piawaian kecantikan yang tidak sepatutnnya.

Sehubungan dengan itu, Google kini telah tidak lagi menggunakan 'mod kecantikan' mereka iaitu face retouching secara lalai dalam aplikasi kamera bermula Pixel 4a, Pixel 4a 5G, dan Pixel 5.



Pengguna mempunyai pilihan untuk menggunakan fungsi face retouching, namun Google lebih terbuka dengan menyatakan apa yang bakal terjadi pada muka mereka jika menggunakan fungsi tersebut.

Menurut kenyataan Google, ini merupakan antara langkah pertama mereka untuk mewujudkan suasana kesihatan yang lebih baik untuk pengguna mereka.

Sumber: Blog Google