Google Meminta Pelanggan Beralih Kepada Servis Langgan Berbayar Google Workspace Bermula 1 Mei 2022

Google baru-baru ini menerusi laman sokongan mereka telah meminta kepada para pelanggannya untuk menaik taraf kepada langganan berbayar Google Workspace.

Ia susulan daripada penamatan servis percuma G Suite legacy free edition yang akan ditamatkan sepenuhnya pada 1 Julai 2022 nanti.

Google menyatakan, sekiranya pengguna G Suite legacy free edition menunggu untuk menaik taraf kepada langganan berbayar servis Google Workspace, pihak Google sendiri akan melakukan proses naik taraf tersebut secara automatik terhadap pengguna G Suite legacy free edition kepada langganan berbayar itu bermula 1 Mei 2022.

Pengguna juga diminta supaya menetapkan bil Google Workspace sebelum 1 Julai 2022. Bermakna anda boleh menggunakan servis Google Workspace secara percuma untuk tempoh 2 bulan sahaja (60 hari) selepas dinaik taraf.

Selepas dari tempoh tersebut, anda tidak lagi boleh mengakses servis teras Google Workspace seperti Gmail, Calendar dan Meet.

Namun begitu, tidak menaik taraf kepada langganan berbayar Google Workspace itutidak akan menyekat anda daripada mengakses servis Google yang lain termasuklah YouTube, Google Photos dan Google Play.

Google Workspace merupakan servis langganan berbayar yang ditawarkan kepada syarikat-syarikat perniagaan untuk digunakan oleh para pekerja mereka yang siap tertera dengan logo syarikat pada setiap laman serta sokongan-sokongan lain.

Harga langganan pelan servis Google Workspace adalah bermula dari RM20/bulan. Setiap pelan servis itu mengandungi servis Gmail, Drive, Meet, Calendar, Chat, Jamboard, DOCS, Sheets, Slides, Keep, Sites dan Forms.

Sebelum ini Google Workspace  dikenali sebagai G Suite.

Sumber: PCMag, Google, Google Workspace