Google Meet Tawar Panggilan Video Percuma Bermula Mei Ini

Bermula Mei ini, Google menawarkan perkhidmatan persidangan video Google Meet kepada semua secara percuma, berbanding sebelum ini yang hanya tersedia untuk pelanggan perniagaan, organisasi dan pendidikan melalui G Suite.

Menurut syarikat itu, setiap pengguna yang mempunyai Google Account dapat mencipta persidangan video yang boleh dimuatkan sehingga 100 orang tanpa had masa. Hanya selepas 30 September, Google akan menguatkuasakan had masa kepada 60 minit bagi setiap persidangan video.

Google Meet percuma

Bagi anda yang belum tahu, Google Meet menawarkan fungsi seperti yang terdapat pada perkhidmatan persidangan video Zoom, termasuk pilihan untuk menjadualkan mesyuarat, dan keupayaan perkongsian skrin.

Terdahulu, Google Meet telah dikemaskini dengan beberapa fungsi baharu termasuk memperluaskan susun atur untuk melihat panggilan. Selain itu, Google turut menambah sokongan pembatan hingar serta kandungan video dengan audio yang berkualiti tinggi dan mod low-light.

Jika anda telah mempunyai Google Account sedia ada, hanya perlu log masuk di meet.google.com untuk menggunakan perkhidmatan ini bagi versi pelayar web. Untuk versi aplikasi mudah alih, muat turun boleh dilakukan melalui Hangouts Meet  di App Store atau Google Meet di Google Play.

Sumber: Google