Google Meet kini mula melepaskan kemaskini dengan fungsi baru bermula hari ini, dan akan tersedia kepada semua pengguna secara global pada akhir minggu ini.
Jika sebelum ini, susun atur tiled (tiled layout) hanya tersedia bagi 4 orang dalam satu masa. Melalui kemaskini terbaru, Google Meet telah memperluaskan susun atur tersebut di mana ia membolehkan pengguna bagi versi desktop melihat 16 panggilan dalam satu masa.
Menurut Google, lebih banyak kemaskini akan datang tersedia bagi sidang video yang lebih besar, susun atur persembahan yang lebih baik, dan sokongan pada lebih banyak peranti.
Selain itu, Meet turut menambah sokongan pembatalan hingar yang dapat menyaring gangguan semasa sidang video sedang berlangsung. Antaranya termasuk bunyi burung, papan kekunci dan sebagainya. Fungsi ini akan mula dilepaskan dalam beberapa minggu lagi kepada pengguna G Suite Enterprise dan G Suite Enterprise for Education, bermula dengan pengguna versi web dan kemudian ke pengguna peranti mudah alih.
Antara fungsi baru lain termasuk kandungan video dengan audio yang berkualiti tinggi serta mod low-light yang boleh menyesuaikan video anda secara automatik agar dapat dilihat oleh peserta lain dalam keadaan pencahayaan yang rendah.
Sumber: Google Cloud