Google Malaysia: Syarikat Telco Malaysia Perlu Sediakan Informasi Yang Mudah Difahami Pengguna

Satu kajian mengenai tingkah laku pengguna Malaysia dalam memilih perkhidmatan telco telah dijalankan oleh Google Malaysia dengan kerjasama Kantar TS. Kajian yang dijalankan pada suku ketiga tahun ini dilakukan keatas 500 orang responden, dan daripada jumlah tersebut, sebanyak 22% boleh dikelaskan sebagai faham serta jelas dalam memilih pengendali rangkaian yang sesuai dengan mereka.

Sebanyak 41% dikategorikan sebagai "faham sebahagian informasi" dan baki 37% tidak tahu apa-apa maklumat tentang telco yang mahu dipilih. Menurut Pengurus Industri Googl Malaysia, Jamie Lucia T Mapa, pengguna tahu tentang telco-telco di Malaysia, tetapi tidak jelas tentang apa yang ditawarkan oleh syarikat telco tersebut.

Beliau turut menyarankan syarikat telco mempermudahkan serta memperhebatkan lagi informasi supaya pengguna lebih mudah memahami apa yang mereka mahukan.

Hasil kajian turut memperlihatkan pengguna Malaysia akan tertarik dengan harga serta kemampuan untuk memiliki pakej telco tetapi keputusan akhir adalah sama ada telco itu mampu menyediakan liputan dan sambungan rangkaian yang stabil dan kukuh.

Sumber: Malay Mail Online