Google Lantik Bekas Pegawai Apple Dalam Usaha Membawa Fuchsia Ke Pasaran

Sejak beberapa tahun yang lalu, kita sering mendengar mengenai perancangan Google untuk menggantikan sistem Android dengan sebuah sistem baharu, Fuchsia.

Perkara itu dilihat semakin hampir menjadi kenyataan apabila pernah timbul ura-ura mengatakan tiada lagi versi Android selepas Android 9 Pie dan akan digantikan dengan Fuchsia.

Terbaru, Google dikatakan telah melantik "orang lama" Apple, Bill Stevenson dalam usaha mereka melancarkan Fuchsia secara rasmi ke pasaran.

Kapsyen: 9to5Google


Bill sebelum ini bekerja dengan Apple dan memegang pelbagai jawatan penting dalam tempoh 14 tahun bersama mereka. Antaranya ialah beliau terlibat secara langsung dalam pembangunan sistem operasi OS X, iCloud for Max, Airdrop dan yang terbaru, Mojave.

Beberapa bulan yang lalu, Google telah menguji sistem Fuchsia pada peranti Honor Play dan ujian tersebut telah berjaya.

Selain itu, mereka juga telah mengumumkan cadangan untuk memperkenalkan pembesar suara pintar dengan sistem Fuchsia menjelang tahun 2021.

Bagaimanapun, dengan laporan mengenai Android Q sedang dibangunkan ketika ini, kita mungkin perlu menunggu lebih lama untuk melihat kehadiran sistem operasi tersebut pada peranti telefon pintar.

Bill Stevenson akan memulakan tugasnya di Google pada bulan hadapan. Sama-sama kita nantikan apakah yang mampu beliau tawarkan kepada sistem Fuchsia itu nanti.

 

Sumber: 9to5Google