Google: Kualiti Kamera Pixel 5 Tidak Terjejas Walaupun Tiada Pixel Neural Core Dan Hanya Cip Snapdragon 765G

Pixel Neural Core merupakan cip khas diletakkan dalam barisan model mercu Pixel sebagai perkakas khas untuk memproses gambar.

Selain dari segi pemprosesan gambar, Pixel Neural Core turut membantu dari segi pembelajaran mesin serta pengoptimasian perisian dalam telefon.

Pada Pixel 4 dan Pixel 4 XL, Pixel Neural Core diletakkan dalam telefon tersebut namun untuk Pixel 5, Google tidak menyertakannya.

Kapsyen: Pixel 5


Menurut Google, mereka tidak memerlukan cip Pixel Neural Core pada Pixel 5 kerana pengoptimasian perisian dan kameranya sudah mencukupi untuk menghasilkan gambar yang berkualiti.

Malah mereka turut menambah hanya menggunakan cip kelas pertengahan Snapdragon 765G, prestasi kamera tidak akan terjejas jika dibandingkan dengan gabungan Snapdragon 855 + Neural Core pada Pixel 4.

Kelihatannya, Google mahu meyakinkan bahawa ketiadaan Pixel Neural Core bukanlah satu masalah dari segi aspek kualiti kamera.

Tambahan lagi, pada spesifikasi Pixel 5 di laman rasmi Google juga tidak menyenaraikan Pixel Neural Core.

Benar atau tidak dakwaan Google mengenai prestasi kamera Pixel 5 yang tidak akan terjejas ini, sama-sama kita saksikannya dalam ulasan telefon ini tidak lama lagi.

Dari: Android Police

 

Berkaitan