Google Hadiahkan Lebih Daripada RM 143 Ribu Kepada Seorang Remaja Dari Uruguay

Pernahkan anda mengimpikan untuk membuat wang poket sebanyak  $ 36,000 (~RM 143,410) hanya dari kediaman anda? Anda mungkin pernah dengar perkara sebegini pada promosi-promosi MLM atau skim cepat kaya, namun ia benar-benar berlaku kepada seorang remaja daripada Uruguay, Ezequeil Pereira.



Pereira telah menerima ganjaran melebihi $ 36,000 daripada Google apabila beliau telah melaporkan berkenaan kelemahan yang terdapat pada sistem keselamatan syarikat teknologi dan internet terkemuka tersebut. Ia merupakan laporan kelima dan paling bernilai dari Pereira kepada Google melalui satu program pemburuan pepijat yang diperkenalkan mereka.

Pereira mula bergiat aktif dalam mencari kelemahan dalam sistem perisian dan keselamatan berkaitan internet selepas beliau menemui satu pepijat dan melaporkannya kepada pihak Google. Beliau telah diberi ganjaran sebanyak $ 500 atas penemuan tersebut, lantas membuatnya berminat untuk meneruskan pencarian beliau.



Buat masa ini, Pereira hanya melakukan pencarian pepijat pada sistem yang digunapakai oleh Google sahaja, namun kini terdapat beberapa syarikat lain yang turut menawarkan ganjaran lumayan melalui program pemburuan pepijat mereka. Antara syarikat berkenaan ialah Microsoft serta Reddit.

Jadi pakar-pakar IT negara ini boleh mengambil peluang untuk membuat duit tambahan dengan cara ini. Gunakan pengetahuan anda dengan sebaiknya.

Sumber